Berita Utama

8 kluster baharu hari ini

3 di Sabah, 2 di Selangor dan masing-masing 1 di Negeri Sembilan, Labuan dan Johor

PUTRAJAYA, 13 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Lapan kluster baharu COVID-19 dikenal pasti hari ini, melibatkan tiga di Sabah, dua di Selangor dan masing-masing satu di Negeri Sembilan, Labuan dan Johor, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, kluster pertama dikesan ialah Kluster Rumah Merah melibatkan Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Kota Kinabalu, Sabah dengan 57 kes didapati positif COVID-19, sementara 72 individu dikesan negatif daripada sejumlah 129 individu disaring setakat 12 tengah hari ini.

“Kes indeks kluster ini (kes ke-29774) dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 28 Okt. Saringan kontak rapat mengesan 56 lagi kes positif COVID-19 dan kesemua kes menerima rawatan di Blok Isolasi Pusat Tahanan Sementara Menggatal,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Beliau berkata, Kluster Telipok juga melibatkan daerah Kota Kinabalu dengan 10 kes dikesan positif virus berkenaan hasil saringan di tempat kerja pada 29 Okt dan mereka dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah Bomba, Sepanggar.

Katanya sehingga 12 tengah hari tadi, sejumlah 112 individu disaring, termasuk 10 kes positif COVID-19, manakala 102 individu lagi dikesan negatif.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, Kluster Sembulan juga di daerah Kota Kinabalu dengan kes indeks dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 24 Okt.

Menurutnya, saringan kontak rapat mengesan 11 lagi kes positif COVID-19 dan kesemua kes dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah Institut Kemahiran MARA, Sepanggar dan Politeknik Sepanggar.

Bagi kluster itu, sejumlah 99 individu disaring dengan 12 kes dikesan positif COVID-19 melibatkan empat kes baharu, katanya.

Di Selangor, beliau berkata Kluster Merpati melibatkan daerah Sepang, Gombak dan Kuala Langat dengan 45 kes dikesan positif COVID-19 (semua kes baharu) hasil saringan di tempat kerja pada 29 Okt dan kesemua mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Sejumlah 71 individu dikesan negatif daripada sejumlah 116 individu yang disaring setakat 12 tengah hari tadi, katanya.

Selain itu, beliau berkata Kluster Astaka melibatkan daerah Petaling, Hulu Langat dan Kuala Selangor dengan kes indeks bagi kluster tersebut dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 27 Okt.

“Saringan kontak rapat mengesan 31 lagi kes positif COVID-19 dan kesemua kes dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya dan menjelaskan bahawa 114 individu disaring dengan 32 kes dikesan positif (31 kes baharu).

Di Labuan pula, Dr Noor Hisham berkata Kluster Titian melibatkan 11 kes positif COVID-19 hasil saringan bersasar terhadap komuniti berisiko tinggi di Kampung Muslim pada 29 Okt dan kesemua kes dimasukkan ke Hospital Labuan.

Sehingga 12 tengah tadi, sejumlah 464 individu telah disaring, termasuk 11 kes positif COVID-19 (semua kes baharu), manakala 40 individu dikesan negatif dan 413 individu masih menunggu keputusan.

Sementara di Negeri Sembilan, Dr Noor Hisham berkata, Kluster Gala di daerah Seremban dan Jelebu dengan lapan kes dikesan positif COVID-19, 98 individu dikesan negatif dan 33 individu masih menunggu keputusan daripada sejumlah 139 individu disaring setakat 12 tengah hari ini.

“Kes indeks bagi kluster ini dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan petugas kesihatan pada 26 Okt dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja’afar. Saringan kontak rapat mengesan tujuh lagi kes positif COVID-19,” katanya.

Di Johor, beliau berkata, Kluster Meldrum membabitkan daerah Johor Bahru, Kota Tinggi dan Tangkak dengan kes indeks bagi kluster ini dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 29 Okt.

“Saringan kontak rapat mengesan lima lagi kes positif COVID-19. Kesemua kes dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor,” katanya.

Sejumlah 219 individu disaring dengan enam kes dikesan positif COVID-19 (5 kes baharu), 138 individu dikesan negatif dan 75 individu masih menunggu keputusan.

Beliau berkata, lapan kluster baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster ketika ini sebanyak 247 dengan 133 kluster aktif. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button