Berita Utama

Barat cipta ‘persepsi’ tuduh Islam ganas dan tak bertamadun

Jangan terperangkap dengan media Barat yang didukung Zionisme

BANGI, 13 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Barat memainkan persepsi keganasan – dengan ‘membuat cerita’ bagi meraih sokongan dan menggambarkan seolah-olah mereka mangsa keganasan Islam.

Walhal, keganasan berkenaan dirancang untuk menuduh umat dan agama Islam sehingga digambarkan sebagai ganas, tidak bertamadun serta lemah.

Oleh itu, wujudlah pelbagai istilah yang dilabelkan kepada Islam seperti jihadis, ekstremis, Taliban, ISIS, fundamentalis dan golongan ‘hard-line’.

Hakikatnya, sistem demokrasi, kebebasan bersuara dan seruan hak asasi manusia yang datang dari Barat adalah palsu, kata Ketua Setiausaha Kluster Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Mohd Noor Azib Asmangi.

Katanya, sesiapa yang mengamati sejarah umat Islam zaman-berzaman pasti akan berjumpa plot-plot perancangan jahat Barat untuk menghancurkan dunia Islam.

“Keganasan dirancang dan dicipta oleh Barat tetapi menuduh agama dan umat Islam keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Barat menggunakan propaganda media sebagai senjata utama untuk membina persepsi salah ketika merancang menjatuhkan kerajaan Uthmaniyah.

“Berita di tangan mereka, disebar ke seluruh pelosok dunia. Akhirnya menimbulkan kekacauan dan keadaan tidak stabil dalam negara.

“Kesannya rakyat hilang percaya kepada khalifah (sultan) dan bertukar wala’ kepada Barat atas topeng kebebasan dan demokrasi,” katanya.

Menyifatkan Malaysia juga seolah-olah sama, Mohd Noor Azib berkata, laungan kebebasan bersuara dan hak asasi manusia dicanang oleh media, kononnya mengangkat sistem demokrasi, walhal membelenggu masyarakat dengan corak pemikiran liberal.

“Orang Melayu terus digambarkan sebagai lemah, malas, mudah lupa, tidak pandai berniaga dan macam-macam kelemahan.

“Disogok dengan duit sampai sebati dengan rasuah. Hilang jati diri dan cintakan tanah air serta tergadai maruah,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan umat Islam supaya tidak terperangkap dengan mainan persepsi media Barat.

“Begitulah peranan media Barat yang didukung Zionisme di belakangnya.

“Menggambarkan seolah-olah mereka adalah mangsa keganasan Islam, walhal mereka yang sedang memangsakan kita,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button