Berita Utama

Belanjawan 2021: Harapan peruntukan besar PnP dalam talian

Masalah internet, peranti elektronik masalah utama PnP dalam talian

KUALA LUMPUR, 13 Rabiulawal 1442H, Jumaat  – Menjelang pembentangan Belanjawan 2021, persatuan guru dan ibu bapa berharap supaya peruntukan besar terus diberikan dalam bidang pendidikan, khususnya dalam aspek kemudahan akses internet dan penyediaan peranti elektronik, bagi menjayakan konsep ‘pembelajaran di rumah’.

Ia selaras dengan norma baharu ketika ini susulan penularan COVID-19, yang turut membuka mata banyak pihak bahawa Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) secara dalam talian masih belum mencapai tahap memuaskan, lebih-lebih lagi dalam aspek kemudahan internet dan peranti telekomunikasi dan gajet elektronik.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Amiruddin Awang berkata, ini memandangkan kebanyakan masalah utama ketika menjalankan PnP secara maya ketika ini, adalah dari aspek internet dan peranti elektronik, terutamanya dalam kalangan guru dan pelajar luar bandar dan pedalaman.

“Negara-negara maju kurang masalah jalankan PnP secara dalam talian, kerana murid ada kemudahan yang disediakan, talian internet mereka laju, ada gajet. Walaupun sekolah ditutup mereka tidak ada masalah jalankan PnP secara maya,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Amiruddin berkata, kerajaan mungkin boleh memberikan rebat bagi membolehkan guru-guru dan pelajar membeli peralatan elektronik seperti komputer peribadi dan telefon bimbit, memandangkan masih ramai daripada mereka yang tidak mempunyai kemudahan tersebut.

Selain penyediaan kemudahan telekomunikasi dan internet secara menyeluruh, Amiruddin berkata para guru dan pelajar juga mungkin boleh diberikan harga istimewa bagi langganan internet, sama ada untuk kegunaan di rumah dan menerusi telefon bimbit.

“Kita perlu menerima hakikat bahawa COVID-19 ‘hidup’ bersama kita, maka mod PnP juga perlu berubah dan ini sudah tentu memerlukan perubahan norma PnP secara beransur-ansur,” katanya.

Senada dengan beliau ialah Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohd Ali Hassan, yang meminta kerajaan agar memberikan tumpuan kepada penaiktarafan infrastrukur pendidikan, bagi membantu melancarkan proses PnP secara dalam talian.

“Skim bantuan bagi membeli peralatan dan aksesori PnP secara dalam talian perlu diwujudkan, bagi terutamanya bagi membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan untuk membeli gajet elektronik,” katanya.

Bukan itu sahaja, Mohd Ali berkata, para guru juga perlu diberikan latihan dan kursus bagi mengendalikan PnP secara dalam talian, memandangkan konteks pendidikan masa kini memerlukan guru menguasai dan mempunyai literasi teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Dalam mendepani wabak COVID-19, Mohd Ali turut mencadangkan supaya kerajaan memberikan peruntukan khas untuk pemeriksaan kesihatan pada guru dan murid, selain peruntukan bagi peralatan pakej asas kepada pematuhan prosedur operasi standard di setiap sekolah.

Ia termasuklah pembelian cecair pembasmi kuman, pelitup muka dan sanitasi berkala. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button