Berita Utama

Belanjawan 2021: KKMM harap internet jadi utiliti awam negara

Membolehkan rakyat menikmati kemudahan itu pada kadar segera

KUANTAN, 13 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Kementerian Komunikasi dan Multimedia berharap aspek kesalinghubungan Internet diangkat sebagai utiliti awam ketiga negara selepas air dan elektrik pada pembentangan Belanjawan 2021, kata Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata penarafan Internet sebagai utiliti awam dapat membantu mempercepat pembinaan infrastruktur berkaitan seperti menara atau fiber gentian optik sekali gus membolehkan rakyat menikmati kemudahan itu pada kadar segera.

“Memandangkan elektrik dan air merupakan utiliti awam, maka pemaju dalam usaha mendapatkan kelulusan merancang perlu membentangkan kepada pihak berkuasa tempatan bagaimana mereka akan menyediakan kemudahan itu.

“Setakat ini, mereka tidak perlu bentangkan di mana hendak membina menara komunikasi kerana ia tidak termasuk dalam utiliti awam. Infrastruktur bagi Internet hanya datang selepas projek siap dan semasa itu, boleh berlaku kelewatan jika tiada tapak sesuai atau masalah lain,” katanya.

Saifuddin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat e-Dakwah Parlimen Indera Mahkota dan sambutan Maulidur Rasul di Masjid Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad di Sungai Karang di sini, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah Andansura Rabu.

Jika hasrat itu dapat dilaksanakan, Saifuddin berkata ia mampu menjimatkan masa antara enam bulan hingga setahun yang diperlukan untuk menyediakan menara komunikasi, medium utama dalam kesalinghubungan Internet buat masa ini.

Beliau juga mahu Belanjawan 2021 ‘mengiktiraf’ istilah ekonomi kreatif bagi membantu pembangunan dan memajukan lagi seni budaya tanah air, yang secara tidak langsung akan turut mempengaruhi cara kerja serta penyediaan dana pada masa depan.

“Kita juga berharap supaya Belanjawan 2021 menjadi permulaan kepada peruntukan dalam Rancangan Malaysia (RMK) ke-12 bagi aspek dana kandungan digital. Untuk RMK ke-11, kita tidak dapat menghabiskan peruntukan sebanyak RM500 juta yang diberikan kerana tidak mempunyai perancangan khusus.

“Saya telah mohon kepada Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz supaya tidak memotong peruntukan dana ini pada RMK12 dan secara prinsipnya beliau bersetuju namun untuk kali ini, kita perlu merancang dengan lebih teliti bagaimana ia akan digunakan,” katanya.

Menjelang pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada 6 Nov ini, Saifuddin berharap semua pihak berlapang dada, bekerjasama dan berbahas secara matang bagi menambah baik kekurangan yang mungkin ada, dengan meletakkan rakyat sebagai kepentingan utama.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata kerjasama bagi meluluskan belanjawan tersebut bukan bermaksud hendak mengekalkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atau kerajaan Perikatan Nasional (PN) tetapi bagi memastikan usaha membantu rakyat dalam situasi negara berdepan pandemik COVID-19 berjalan lancar.

“Kerajaan sudah mengambil langkah yang perlu (dalam membantu rakyat) dengan dua teras utama gerak kerja untuk menyeimbangkan antara kesihatan dan ekonomi. Kita memerlukan dana untuk meneruskan usaha ini yang datang daripada Belanjawan 2021.

“Politik di Malaysia ada waktunya terlalu tajam sehingga kita bermusuhan dalam suasana kita berdepan pandemik COVID-19.

“Mungkin ini adalah masa untuk kita mengamalkan politik dwipartisan dengan rakyat sebagai keutamaan, jika tidak untuk sepanjang masa, sekurang-kurangnya buat masa ini,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button