Berita Utama

Belanjawan 2021: Mindef perlu peruntukan lebih besar

Perkukuh kesiapsiagaan tentera serta perumahan anggota

KUALA LUMPUR, 13 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Kementerian Pertahanan memerlukan peruntukan lebih besar dalam Belanjawan 2021 terutamanya untuk memperkukuhkan kesiapsiagaan tentera serta perumahan anggota.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan kementeriannya juga memerlukan pertambahan aset baharu termasuk mensasarkan penambahan 19 pos kawalan tentera bagi memperkukuhkan lagi Ops Benteng di kawasan sempadan Sabah dan Sarawak.

“Kementerian melihat kesiapsiagaan mendapatkan aset baharu untuk Ops Benteng sangat diperlukan sekarang ini.

“Kita bukan sahaja menggerakkan anggota, tetapi aset juga perlu ditambah terutamanya di Pantai Timur Sabah, kita juga bercadang membina kem tentera di Lahad Datu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat harian mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, ketika ini terdapat 17 pos kawalan di sempadan negara di Sabah dan Sarawak.

Katanya, beliau melihat pertambahan pos kawalan sangat penting bagi menangani isu pendatang tanpa izin yang tidak pernah selesai.

Ismail Sabri berkata, peruntukan itu juga diperlukan bagi menyelesaikan projek perumahan yang melibatkan puluhan ribu anggota tentera termasuk pesara.

“Kita belum tahu dari segi jumlah bajet yang akan diluluskan… walaupun tidak menghadapi perang tetapi kesiapsiagaan itu mesti sentiasa tinggi,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button