Berita Utama

Boikot produk Perancis perlu babit seluruh dunia Islam

Macron benci Islam mungkin sebab lihat dari aspek Taliban, IS

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 13 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Umat Islam di beberapa negara kini bersatu memboikot produk dan barangan Perancis – sebagai tindak balas membantah kutukan dan tuduhan Presiden Emmanuel Macron – yang didakwa sengaja mencetuskan Islamophobia.

Barangan buatan Perancis dilaporkan telah ditarik daripada rak jualan di Qatar dan Kuwait serta di negara-negara lain.

Manakala penduduk di Syria pula telah membakar gambar Macron, malah bendera-bendera negara itu juga dibakar di ibu kota Libya, Tripoli.

Di Malaysia, juga ‘trending’ di media sosial gesaan memboikot produk Perancis – sebagai isyarat kepada negara itu dan pihak lain supaya tidak bersikap biadab menghina Islam.

Mufti Terengganu, Datuk Dr Zulkifly Muda berkata, gerakan memboikot produk Perancis – sekiranya benar-benar mahu dilaksanakan – perlu dibuat secara menyeluruh – membabitkan seluruh dunia Islam.

Bagaimanapun beliau berkata, tindakan itu perlu juga dilihat dari aspek keberkesanan.

“Tindakan memboikot sangat bagus sekiranya berkesan, namun boleh jadi tidak wajar sekiranya tidak berkesan.

“Kalau tidak berkesan mungkin membabitkan kedai-kedai orang Islam yang menjual barangan Perancis,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Macron sebelum ini, mencetuskan kemarahan dunia Islam apabila mendakwa orang Islam sebagai penganut fahaman pemisah, juga menuduh Islam sebagai agama krisis di seluruh dunia.

Bahkan, Macron turut menyatakan negara itu tidak akan melarang karikatur yang menghina Islam dan Nabi Muhammad ﷺ.

Macron membuat kenyataan itu, Rabu lalu, sebagai mengulas insiden seorang guru, Samuel Paty, yang dipenggal kepala di luar sekolahnya – di pinggir kota luar Paris awal bulan ini.

Kejadian berlaku selepas mendiang Paty menunjukkan karikatur menggambarkan Nabi Muhammad ﷺ ketika kelas berkaitan kebebasan bersuara.

Mengulas situasi itu, Dr Zulkifly berkata, terdapat dua andaian Macron dilihat membenci umat Islam – beliau melihat kelemahan orang Islam di Perancis dan menganggap kelemahan itu sebagai ajaran agama.

“Kedua, dia mungkin lihat secara global bahawa Islam bersandarkan kepada Taliban, IS (Islamic State) dan sebagainya.

“Perkara-perkara itu yang mungkin mendorong beliau membenci Islam,” jelasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button