Berita Utama

Erdogan ibarat khalifah tidak rasmi

Presiden Turki tebus kembali ‘dosa’ pemimpin Islam pasca-Khilafah

BANGI, 13 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Tanpa kita sedar, umat Islam ketika ini memiliki seorang pemimpin berstatus ‘khalifah tidak rasmi’ yang berjaya mengimbangi keangkuhan material, ketenteraan dan ideologi Barat.

Pemimpin itu berjaya mengimbangi antara kuasa ketenteraan Amerika Syarikat (AS) dan Russia, menangani sekatan ekonomi Washington, memupuk perjanjian perdagangan bebas sesama negara Islam, mengusahakan kestabilan Syria dan Libya serta memperjuangkan pembebasan Palestin daripada Zionis.

Tidak lain dan tidak bukan, pemimpin Islamis itu ialah Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang berjaya mengembalikan semula status tapak bersejarah Hagia Sophia di Istanbul sebagai masjid.

Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda, Abdul Muein Abadi berkata, terkini Erdogan kembali kehadapan mempertahankan kemuliaan junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ daripada penghinaan berterusan pemimpin sekular Perancis, Emmanuel Macron.

“Presiden Turki itu mengecam Presiden Perancis sebagai ‘memerlukan rawatan mental’ atas sikap permusuhannya terhadap Islam. Malah, Erdogan juga menggerakkan usaha memboikot produk Perancis,” katanya menulis di Sinar Harian.

Dalam pada itu, beliau berkata, selepas runtuhnya Khilafah Uthmaniyyah hampir 100 tahun lalu, umat Islam di seluruh dunia ibarat anak ayam kehilangan ibu.

Walaupun dikurniakan kekayaan sumber, populasi dan wilayah luas, Muein berkata, umat Islam berterusan menjadi hamba imperialis secara bergilir-gilir.

Jelasnya, maruah dan wilayah umat Islam dipijak dengan dahsyat oleh para imperialis – hingga ke tahap sebahagian umat Islam sendiri turut berasa malu dan hina dengan Islam, al-Quran, sunnah dan alim ulama.

“Dalam tempoh ketiadaan khalifah, kiblat pertama umat Islam di Masjid al-Aqsa, Baitulmaqdis Palestin telah dijajah Yahudi Zionis.

“Wilayah dan hasil bumi umat Islam pula diagih-agihkan sesama imperialis dengan bantuan tali barut rejim tempatan dalam kalangan umat Islam sendiri yang kenyang dengan habuan duniawi yang sedikit,” katanya.

Lebih menyedihkan, apabila pandangan alam Islam diganti alam sekular yang didominasi material tanpa pertimbangan dosa pahala.

Akibatnya, kekuasaan sistem kewangan AS dengan ‘petrodollar’ yang menggantikan sistem tambatan nilai wang dengan nilai emas Bretton Woods menyaksikan majoriti pemimpin dunia Islam pasca-Khilafah ibarat lembu kenyang.

Muein berkata, hasil persekongkolan mereka dengan pelaburan sistem riba ‘petrodollar’ – diperkukuhkan dengan sokongan politik dan ketenteraan Barat meskipun rekod hak asasi manusia mereka cukup buruk – pemimpin umat Islam ini memekakkan telinga dan membutakan mata terhadap penjajahan sistematik Zionis.

Bahkan penghinaan berterusan terhadap agama Islam termasuklah kepada imej Rasulullah ﷺ.

“Namun, hari ini Erdogan menebus kembali ‘dosa-dosa’ pemimpin umat Islam pasca-Khilafah. Tidak hanya beretorik, Presiden Turki itu bertindak dengan sebenar-benarnya melalui kuasa ekonomi, politik dan ketenteraan.

“Di sebalik segala kekangan dalam sistem sekular Turki warisan Mustafa Kamal Attaturk, ditambah pula dengan hegemoni global AS pasca-Perang Dingin, Erdogan dengan ijtihad politik berhasil menterjemahkan visi Islamis dalam dasar luar Turki sejak tahun 2003,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button