Berita Utama

Henti usaha rampas kuasa, tunggu sahaja PRU

Rakyat tak mahu peralihan kuasa ketika pandemik COVID-19

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 13 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Pemimpin kerajaan mahupun pembangkang wajib mengambil serius teguran Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya menghentikan segera politiking yang mengganggu kestabilan negara.

Sekiranya peringatan Al-Sultan Abdullah diabaikan, rakyat sendiri tidak boleh menerima peralihan kuasa dan perubahan pemerintah ketika negara sedang dilanda gelombang ketiga pandemik COVID-19.

Ini kerana. peralihan kuasa akan menyebabkan perubahan dari struktur pentadbiran serta Kabinet, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya.

“Akhirnya fokus akan tidak lagi kepada kedua-dua isu penting ini.

“Justeru, semua pihak tidak kira dari sebelah mana mesti berhenti usaha untuk rampas kuasa dan bertindak lebih matang.

“Pilihan Raya Umum (PRU) sudah tidak lama lagi dan bersabar seketika sahaja lagi,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perbincangan di antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan beberapa pemimpin politik mengenai cadangan membentuk kerajaan perpaduan.

Memetik laporan portal Malaysiakini, sumber daripada pejabat Dr Mahathir mengesahkan bahawa Ahli Parlimen Langkawi itu telah bertemu dengan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah Isnin lalu.

Kemudian diikuti Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada Selalu lalu dan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu kelmarin.

Menurut sumber kepada portal berkenaan, ketiga-tiga pertemuan itu dikatakan telah diadakan di kediaman Dr Mahathir di Seri Kembangan, Selangor.

Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah menggesa ahli politik menghentikan segera segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan negara.

Seri Paduka juga berpendapat tiada keperluan untuk Ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu-gugat kestabilan kerajaan sedia ada.

Yang di-Petuan Agong turut menyeru seluruh rakyat, tanpa mengira latar belakang dan khususnya fahaman politik, mengenepikan segala perbezaan dan perbalahan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button