Berita UtamaDunia

Israel denda bank Palestin kerana proses dana keluarga tahanan

Rejim Zionis halang 2,000 penduduk Palestin masuk masjid di Hebron

BAITULMAQDIS, 13 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Israel akan mengenakan sekatan dan denda ke atas bank-bank Palestin yang memproses dana Pihak Berkuasa Palestin (PA) kepada keluarga tahanan di penjara negara haram itu.

Februari lalu, Menteri Pertahanan Israel ketika itu, Naftali Bennett menandatangani keputusan ketenteraan yang menyatakan bahawa mana-mana individu atau badan yang memberi bantuan kewangan bagi tujuan kemudahan, kemajuan, pembiayaan atau penghargaan kepada kesalahan kononnya berkaitan keganasan akan dikenakan hukuman denda atau penjara sehingga sepuluh tahun.

Media Israel melaporkan bahawa undang-undang ketenteraan telah dibekukan beberapa kali oleh Menteri Pertahanan kini, Benny Gantz, susulan khuathir akan berlakunya provokasi tunjuk perasaan di Tebing Barat, yang diduduki.

Tahun lalu, Israel bertindak memotong sebahagian dari cukai pendapatan yang dikumpulkannya bagi pihak PA dengan alasan bahawa jumlah itu digunakan bagi memberi bantuan kepada keluarga tahanan dan pejuang Palestin.

Tindakan biadab itu telah meningkatkan krisis kewangan yang dialami oleh PA, yang menolak untuk menerima sebarang hasil cukai.

Untuk rekod, sekitar 4,500 warga Palestin termasuk 160 kanak-kanak dan 41 wanita telah menjadi tahanan di penjara Israel.

Dalam perkembangan lain, polis Israel menghalang lebih 2,000 warga Palestin daripada memasuki Masjid Ibrahimi di Kota Hebron semalam, sempena menyambut keputeraan Nabi Muhammad  ﷺ.

Pengarah Masjid Ibrahimi, Hefzi Abu Sneina berkata, Israel hanya membenarkan 500 warga Palestin masuk ke dalam masjid berkenaan.

Beliau menyifatkan perkara itu sebagai satu pelanggaran hak untuk beribadah secara bebas.

“Hari ini masjid dibuka sepenuhnya untuk umat Islam, tetapi pendudukan (Israel) telah melanggar hak-hak Palestin,” katanya.

Pada 1994, Israel membahagikan kawasan masjid yang memisahkan orang Islam dan Yahudi, setelah seorang daripada penduduk haram, Baruch Goldstein bertindak membunuh 29 orang jemaah Palestin selain mencederakan yang lain ketika mereka bersolat di masjid berkenaan. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button