Macau Scam: Reman seorang Datuk, dua anggota polis dilanjut 38 hari
Mereka sebelum ini ditahan reman 21 hari bermula 14 Oktober
KUALA LUMPUR, 13 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Tempoh tahanan reman seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ bersama dua anggota polis berhubung siasatan kes sindiket perjudian dalam talian dan kegiatan Macau Scam dilanjutkan 38 hari lagi oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret M. Mageswary mengeluarkan perintah itu ke atas kesemua suspek lelaki berumur dalam lingkungan 34 hingga 39 tahun, selepas membenarkan permohonan pihak polis untuk melanjutkan tempoh tahanan reman terhadap mereka, bermula hari ini.
Mereka sebelum ini ditahan reman selama 21 hari bermula 14 Oktober lepas di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.
Prosiding reman ketiga-tiga suspek yang memakai baju lokap berwarna oren bermula jam 10.30 pagi dan selesai sejam kemudian.
Peguam Jacky Loi ketika dihubungi pemberita mengesahkan kesemua suspek yang turut diwakili peguam Gobind Singh Deo dan Shahrizal Abdul Manan, ditahan reman mengikut Seksyen 4(2)(a) POCA.
Pada 13 Oktpber, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata polis telah menahan semula tiga individu selepas mahkamah menolak perintah reman yang dipohon oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mereka.
Mereka ditahan polis berhubung kes pusat panggilan membabitkan kegiatan judi dalam talian selepas dibebaskan SPRM. -Bernama