Berita Utama

Malaysia kutuk serangan di Nice, Perancis

Masyarakat antarabangsa perlu bersatu tangani punca keganasan

BANGI, 13 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan di sebuah gereja di bandar raya Nice, Perancis yang membunuh tiga orang awam, semalam.

Dalam kejadian di Basilica of Notre-Deme de L’Assomption, mangsa yang terkorban membabitkan seorang lelaki berusia 55 tahun serta dua wanita masing-masing dalam lingkungan 44 dan 60 tahun.

Pihak berkuasa Perancis mengenal pasti suspek sebagai warganegara Tunisia berusia 21 tahun yang tiba di Eropah melalui pulau Lampedusa di Itali bulan lalu.

Serangan itu berlaku di tengah-tengah ketegangan terhadap isu karikatur yang menghina Nabi Muhammad dan insiden memenggal kepala seorang guru di pinggir bandar Paris, baru-baru ini.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata, serangan berkenaan sekali lagi mengingatkan masyarakat antarabangsa terhadap usaha bersama untuk menangani tindakan serta ancaman keganasan secara berkesan dan menyeluruh. 

“Ia jelas bahawa ancaman global ini tidak mengenal sempadan, juga agama dan kaum.

“Semua masyarakat antarabangsa perlu bersatu menangani punca keganasan, dan mempromosikan keharmonian serta saling menghormati.

“…termasuk menentang penganiayaan, provokasi dan kebencian antara agama atau kaum,” katanya.

Malaysia turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa terkorban dan berharap mereka yang cedera segera sembuh.

“Kami berharap penyerang akan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button