Berita Utama

Muhyiddin dan Anwar punca kemelut politik, dakwa Isham

'Selepas COVID-19 reda, krisis politik tak selesai lagi'

BANGI, 13 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN), Isham Jalil menolak dakwaan kononnya UMNO menjadi punca kemelut politik di Malaysia – sehingga mendapat teguran dan nasihat Yang di-Pertuan Agong. 

Sebaliknya, beliau mendakwa, tindak-tanduk parti Melayu itu sekadar memberi respon kepada dua tindakan daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Katanya, krisis bermula selepas Anwar bertemu Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan mendakwa mendapat majoriti kukuh Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Kemudian disusuli tindakan Muhyiddin yang mempersembahkan cadangan pengisytiharaan darurat kepada Yang di-Pertuan Agong, sekali gus menyebabkan kemelut politik berpanjangan.

“Maka apa yang dibuat UMNO ini adalah respon kepada cadangan-cadangan Perikatan Nasional dan PKR itu sendiri.

“Dua pihak ini kemukakan cadangan sebagai jalan keluar kepada kemelut ini, dan UMNO juga ada penyelesaian sendiri,” katanya dalam siaran di TV Pertiwi, hari ini.

Justeru, Isham berkata, UMNO telah mengemukakan cadangan supaya gencatan politik dibuat, termasuk mengesyorkan pilihan raya umum diadakan selepas krisis COVID-19 reda.

“Pada saya, kemelut hanya berakhir dengan PRU sahaja. Mungkin sekarang kemelut ini boleh diselindung di sebalik COVID-19.

“Tetapi, saya jangka selepas COVID-19 reda, kemelut ini tidak selesai lagi. Saya jangkakan kita boleh adakan PRU paling tidak Jun tahun hadapan,” katanya.

Selain itu, Isham tidak menolak kemungkinan krisis politik kekal berulang sekiranya bertukar kerajaan dan Ahli Parlimen Port Dickson menjadi Perdana Menteri.

Ini kerana, Anwar sebenarnya tidak mempunyai sokongan majoriti kukuh seperti mana didakwanya.

“Bagi cadangan di pihak PM dan PN untuk dibuat darurat juga sebenarnya kita (UMNO) tidak setuju kerana meletakkan istana dalam dilema.

“Apabila darurat pelabur akan lari, dan rakyat yang menolak akan membuat rusuhan, bahkan memberi risiko kepada institusi diraja,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button