Rakyat tuntut janji! Bagaimana kes Adib, tulisan Jawi, mansuh vernakular?
Politik mesti bebas dari pengaruh sekularisme, liberal demokratik

BANGI, 13 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Selepas kejatuhan Pakatan Harapan (PH) – yang hanya mentadbir 22 bulan kerana terpalit pelbagai kontroversi – rakyat mengharapkan pemerintah sekarang melunaskan janji mereka memperjuangkan agenda Islam dan Melayu.
Namun, keadaan ketika ini dilihat agak mengecewakan apabila kes Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim seolah-olah dipinggirkan, isu berkaitan tulisan Jawi, sekolah vernakular dan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) masih belum menemui titik noktah.
Lebih mengecewakan lagi dengan tindakan parti Cina dari kerajaan serta pembangkang yang bertindak melindungi penceroboh tanah di Raub, Pahang sedangkan mereka jelas melanggar undang-undang, tegas Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib Ar-Rumy.
Jelas beliau, apa-apa isu yang menggugat atau menimbulkan kontroversi terutama berkaitan dengan Islam dan Melayu seharusnya ditangani dengan tindakan undang-undang yang jelas daripada kerajaan.
“Kita lihat kini keadaan tidak sebagaimana yang kita mahukan. Pencerobohan di tanah Raub, akhirnya parti-parti Cina tidak kisah dari dalam kerajaan mahu pun pembangkang berebut-rebut untuk melindungi,” katanya ketika mengupas Perspektif | Politik Melayu Dalam Krisis disiarkan TV Pertiwi.
Dalam pada itu, Ustaz Shuhaib berkata, meskipun penjajah Inggeris telah meninggalkan negara, mereka bagaimanapun sudah menyediakan satu tapak poltik untuk agenda luar terus dilaksanakan di negara ini walau sudah mencapai kemerdekaan.
“Sebagai contoh apabila tamatnya Perang Dunia Pertama, maka pihak-pihak yang kalah ini telah menubuhkan satu pertubuhan dinamakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Sebelum itu lagi mereka telah melenyapkan satu institusi penting yang utama dalam tiang pemerintahan Islam iaitu sistem khalifah.
“Tamatnya sistem khalifah di Turki, akhirnya negara-negara barat bersatu dan mereka ini telah mengeksport fahaman, cara fikir sistem politik mereka ke negara-negara Islam yang telah dipecah-pecahkan termasuklah Malaysia,” katanya.
Beliau menjelaskan, sistem demokrasi barat telah menampakkan secara licik dan halus bahawa ia bertentangan dengan prinsip utama terutama dalam politik Islam.
Katanya, sebagai contoh sistem demokrasi barat memberi ruang yang luas untuk sesebuah negara melaksanakan pilihan raya.
Katanya lagi, melalui pilihan raya, sistem demokrasi barat tidak melarang sekiranya bukan muslim dilantik oleh orang Islam sendiri untuk mentadbir negara yang majoritinya atau pun dari segi falsafah, susur galurnya adalah Islam.
“…datangnya demokrasi barat ini memberikan parti-parti yang bertanding dalam pilihan raya tersebut mengemukakan calon bukan Islam dan akhirnya pengundi bersifat terbuka dan memilih bukan muslim mewakili suara mereka di Dewan rakyat .
“Dengan itu mustahil orang bukan Islam akan memperjuangkan agenda Islam. Pada masa sama pemimpin-pemimpin Melayu beragama Islam jadi malu dan segan untuk memperjuangkan agenda Islam dan Melayu dalam kerangka tersebut,” katanya.
Untuk keluar daripada keadaan itu, Ustaz Shuhaib berkata, tidak ada cara lain kecuali umat Islam serta bangsa Melayu di tanah air ini kembali kepada fahaman Islam.
“Fahaman Islam yang berasaskan kepada akidah, tauhid dan di situlah kita akan kumpulkan semula falsafah dan membangunkan semula pemikiran Islam yang menolak campur tangan asing.
“Tidak ada cara lain untuk bangunkan semula politik Islam kecuali dengan membebaskan diri daripada pengaruh politik Barat sama ada daripada sekularisme, sosialisme mahupun liberal demokratik malah dari penguasaan Cina. Inilah yang kita namakan landskap baru politik kita tawarkan.
“Kita jadi lemah begini, mengemis di bumi sendiri sekarang ini kerana kita telah lama memisahkan diri daripada Islam bahkan juga dari sejarah Melayu dan asal usul kegemilangan nenek moyang kita yang satu ketika dulu telah mengurustadbir satu empayar besar,” katanya.