Berita UtamaDunia

Serangan terbaharu di Perancis angkara pengganas Islam

3 terkorban dalam insiden serangan di sebuah gereja di Nice

PARIS, 13 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Presiden Perancis, Emmanuel Macron menyifatkan insiden yang mengorbankan tiga orang di Kota Nice semalam sebagai ‘serangan pengganas Islam’ sekali gus mendorong negara itu meningkatkan kawalan keselamatan ke tahap tertinggi.

Bercakap di tempat kejadian, Macron mengecam serangan itu dan melipatgandakan pembelaannya terhadap kebebasan bersuara, walaupun beliau tidak secara jelas menyebut tentang karikatur Nabi Muhammad ﷺ.

“Kami tidak akan menyerah,” katanya, sambil mengumumkan penempatan 3,000 hingga 7,000 anggota pasukan keselamatan antikeganasan Perancis ke seluruh negara, khususnya di gereja, sekolah dan tempat keagamaan lain.

Serangan itu berlaku di tengah-tengah ketegangan terhadap karikatur yang menghina Nabi Muhammad ﷺ dan insiden memenggal kepala seorang guru di pinggir bandar Paris selepas menunjukkan karikatur provokatif di dalam kelas berkaitan kebebasan bersuara.

Umat Islam di Perancis dan luar negara menyifatkan karikatur itu sebagai provokasi yang menyinggung perasaan, bahkan terdapat tuntutan untuk memboikot produk Perancis di seluruh negara Islam.

Serangan berkenaan berlaku di Basilica of Notre-Dame de L’Assomption – sebuah gereja – sebelum pukul 9 pagi, semalam.

Menurut pendakwa antikeganasan, Jean-François Ricard, tiga orang disahkan terkorban iaitu seorang lelaki berusia 55 tahun serta dua wanita masing-masing dalam lingkungan 44 dan 60 tahun.

Ricard mengenal pasti suspek sebagai warganegara Tunisia berusia 21 tahun yang tiba di Eropah melalui pulau Lampedusa di Itali bulan lepas.

“Ketika polis tiba di gereja, lelaki itu mendekati mereka, sambil berteriak, ‘Allahu akbar’ atau ‘Tuhan maha agung’ dalam bahasa Arab,” kata Ricard.

Suspek kemudian ditembak oleh polis Perancis dan dibawa ke sebuah hospital, di mana dia menjalani pembedahan serta dilaporkan berada dalam keadaan kritikal, katanya lagi.

Ricard berkata, senaskah al-Quran dijumpai di tangan suspek serta sebilah pisau berukuran hampir 12 inci yang dipercayai digunakan dalam serangan itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button