Berita Utama

PM Malaysia patut ketuai negara ahli APEC jalankan boikot ekonomi terhadap AS

Anwar jadi saksi bisu seolah-olah Amerika tidak lakukan apa-apa dosa

BANGI, 3 Jamadilawal 1445H, Jumaat – Perdana Menteri Malaysia sepatutnya menggunakan peluang menghadiri sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) dengan memberikan tekanan ekonomi terhadap negara pencabul hak asasi manusia itu.

Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim Mohamad berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menyuarakan bahawa negara-negara ahli APEC akan memboikot ekonomi jika AS meneruskan pembersihan etnik yang semakin meruncing di Palestin. 

Beliau berkata, desakan dibuat bukan bertujuan Malaysia perlu memutuskan hubungan dengan AS, kerana ia sudah tentu tidak munasabah dah logik.

“Memang AS merupakan rakan strategik ekonomi Malaysia buat sekian lama dan merupakan pelabur luar terbesar buat negara. Sebagai contoh, AS mencatatkan pelaburan langsung asing di Malaysia sebanyak AS$13.5 bilion pada tahun 2020. 

“Selain itu, Malaysia juga ialah rakan dagangan ke-18 terbesar AS. AS juga menyediakan kira-kira AS$220 juta bantuan keselamatan untuk Malaysia, termasuk penyediaan peralatan, pendidikan, latihan dan program pertukaran lain.

“Namun, sekurang-kurangnya Malaysia harus menunjukkan keberanian dengan memboikot mereka dalam beberapa segmen ekonomi untuk memberikan tekanan dan pengajaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, ramai mengharapkan PM tidak hadir ke sidang kemuncak APEC tersebut sebagai tanda solidariti terhadap Palestin. 

“Sebaliknya, beliau hadir namun menjadi saksi bisu seolah-olah tiada apa-apa dosa yang dilakukan oleh AS.

“Apa yang berlaku sepanjang konflik Israel dan Palestin sejak 7 Oktober lalu menunjukkan Malaysia adalah sebuah negara yang lemah, tidak berpendirian serta kuat bermain drama!,” katanya lagi.

Anwar dijadual menghadiri majlis makan malam Pemimpin Ekonomi APEC yang dihoskan oleh Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, hari ini.

AS dan Malaysia adalah antara 12 anggota pengasas APEC.

Negara lain ialah Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Filipina, Singapura dan Thailand.

Ini diikuti China, Hong Kong, Taiwan, Mexico dan Papua New Guinea pada 1993. Chile menyertainya pada 1994 serta Peru, Russia dan Vietnam pada 1998, menjadikan keanggotaan penuh kepada 21.

APEC mempunyai hampir tiga bilion penduduk, 62 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dan 48 peratus daripada perdagangan dunia pada 2021.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button