Pendapat

Tangisan Rasulullah ﷺ untuk kita

Bimbang akan kelalaian, kealpaan umat Islam

RASULULLAH ﷺ sering memikirkan tentang kita. Ya, kita (umatnya). Kadangkala, bimbang akan kelalaian dan kealpaan umatnya, Rasulullah ﷺ tiba-tiba menangis.

2. Pernah satu ketika berlaku gerhana matahari di zaman Nabi ﷺ. Keadaan mendung dan kelam ini mengingatkan Rasulullah ﷺ tentang azab yang menimpa umat terdahulu di mana bumi menjadi gelap. Rasulullah ﷺ lantas melaksanakan solat gerhana. Dalam sujud yang panjang Rasulullah ﷺ menangis dan merintih:

أَلَمْ تَعِدْنِي أَنْ لا تُعَذِّبَهُمْ وَأَنَا فِيهِمْ‏؟‏ رَبِّ أَلَمْ تَعِدْنِي أَنْ لا تُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ‏

“Wahai Tuhanku, bukankah kau berjanji tidak akan memberikan azab terhadap umatku sedangkan aku di sisi mereka? Wahai Tuhanku, bukankah kau berjanji tidak akan mengazab mereka sedangkan mereka beristighfar?” (HR Tirmizi, al-Shamail; Muslim, Sahih)

3. Malah, menurut Abdullah ibn Amru, ketika Rasulullah ﷺ membaca ayat berkenaan doa Nabi Ibrahim terhadap umatnya (surah Ibrahim: 36) dan tentang doa Nabi Isa tentang umatnya (al-Maidah:118), Rasulullah ﷺ tiba-tiba menangis lalu berdoa:

اللهُمَّ أُمَّتِي أُمَّتِي

“Ya Allah, umatku, umatku.” (HR Muslim)

4. Sayang sungguh Rasulullah ﷺ pada kita. Dalam solat, Baginda menangis kerana teringatkan kita. Ketika membaca Quran, teringat lagi tentang kita lalu Baginda menangis. Betapa sayang Rasulullah ﷺ pada kita.

Mari perbanyakkan selawat buat Baginda Nabi.

Allahumma salli ‘ala Saidina Muhammad.

Dr Ahmad Sanusi Azmi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button