Berita Utama

Duta AS jangan sengaja jadi ‘bodoh’ pertahan kebebasan bersuara

AS tiada hak pandang rendah Islam jika terus abai hak asasi manusia

BANGI, 14 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Pemuda Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mengingatkan Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir untuk tidak mempraktikkan ‘kebodohan’ yang disengajakan serta dwistandard dalam menegakkan hak asasi manusia.

Amaran itu dilontarkan susulan tindakan Lakhdhir yang dikatakan ‘sangat tidak setuju’ dengan kenyataan dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan insiden penindasan terhadap umat Islam di Perancis, baru-baru ini.

Sebelum ini, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi menegaskan bahawa orang Islam berhak untuk marah dan membunuh berjuta-juta rakyat Perancis kerana pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan pada masa lalu.

“Tetapi secara umum umat Islam tidak melaksanakan undang-undang ‘eye for an eye’ (balasan serupa bagi perbuatan jenayah yang dilakukan).

“Orang Islam tidak lakukannya. Orang Perancis juga tidak seharusnya buat perkara yang sama. Sebaliknya orang Perancis harus mengajar rakyatnya untuk menghormati perasaan orang lain,” katanya.

Berpegang teguh pada kenyataan Dr Mahathir atas prinsip menegakkan kebenaran, Ketua Kluster Belia PEMBELA, Luqman Abd Hamid mendesak, pemimpin muslim bersuara menentang barat dan menjauhkan diri daripada nilai universal kemanusiaan serta keadilan yang menjadi pegangan mereka.

Luqman berkata, pihaknya turut menggesa AS mematuhi kepemimpinan moral seperti yang dinyatakan dalam Bapa Pengasas AS dalam merangka Perlembagaan.

Tegasnya, negara itu tidak mempunyai sebab untuk memandang rendah dunia Islam, sementara AS terus melanggar dan mengabaikan hak asasi manusia yang ingin ditegakkan dengan menyerang negara-negara muslim bersama-sama sekutu mereka.

“Negara anda bertanggungjawab menghancurkan negara, membunuh bapa, memperkosa ibu, menjadikan kanak-kanak yatim dan menahan sesiapa sahaja yang menentang kepentingan anda dalam membangunkan presiden imperialis,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Luqman berkata, perbuatan tidak masuk akal yang dilakukan AS selama bertahun-tahun perlu diketengahkan kerana mereka telah menjadi negara yang tidak sopan, biadab serta tidak beradab.

“Dunia masih mengingati penyeksaan tahanan di Abu Ghraib dan Teluk Guantanamo, dan tidak akan melupakan pembunuhan George Floyd dan penderaan perkauman sistematik oleh polis terhadap orang berkulit hitam,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button