Berita UtamaDunia

Bimbang hilang majoriti, Israel perluas bidang kuasa di Harish

Kawasan itu didapati bakal alami peningkatan ketara penduduk Arab

TEL AVIV, 14 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Pemerintah negara haram Israel sedang berusaha memperluas bidang kuasanya di bandar utara Harish kepada hampir 50 peratus, untuk menghalang rakyat Palestin daripada membentuk majoriti di kawasan itu, lapor Haaretz.

Permintaan diusulkan oleh Kementerian Dalam Negeri itu muncul setelah keluar laporan Kementerian Perumahan, yang memperincikan jangkaan perubahan demografi di kawasan itu hingga tahun 2050. 

Angka-angka itu meramalkan bahawa, populasi Arab di daerah berkenaan akan mencecah 51 peratus daripada jumlah 700,000 penduduk yang dijangkakan di situ.

“Gambaran pertumbuhan demografi di ruang sekitar menunjukkan kawasan itu bakal mengalami peningkatan jumlah penduduk Arab yang ketara.

“Keseimbangan demografi hampir akan berubah. Sebilangan besar penduduk bukan Yahudi akan mendiami daerah ini,” kata Kementerian Perumahan.

Sebelum ini, bandar itu telah diperluas dua kali walaupun ada amaran daripada organisasi hak asasi manusia Palestin yang berpusat di Haifa, bahawa langkah itu akan memberi kesan negatif terhadap bandar-bandar dan kampung-kampung Arab di sekitarnya serta perkembangan fizikal mereka.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengumumkan, mengubah Harish menjadi sebuah kota adalah mesej hebat Zionis, yang juga ditujukan kepada musuh-musuh Israel.

Terletak di sepanjang dataran pesisir antara Tel Aviv dan Haifa, Harish mempunyai sasaran penduduk yang ditetapkan oleh pemerintah sebanyak 120,000 orang. 

Namun, pada masa ini, ratusan kediamannya masih kosong dan dijual pada harga yang murah. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button