Berita UtamaDunia

Gempa bumi kuat ragut 22 nyawa, 786 lagi cedera di Turki

70 orang diselamatkan daripada runtuhan bangunan

ISTANBUL, 14 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Sekurang-kurangnya 22 orang terkorban dan 786 lagi cedera dalam runtuhan bangunan di wilayah Izmir di Turki setelah gempa kuat melanda Laut Aegea, semalam.

Reuters melaporkan, beberapa bangunan di wilayah Izmir turut runtuh akibat gegaran berukuran 7.0 pada skala Richter itu.

Gempa berkenaan, yang dirasakan dari Istanbul ke Athens, Greece melanda dekat kota peranginan Turki, Izmir, yang mempunyai kira-kira tiga juta penduduk.

Beberapa kawasan sekitar dipenuhi dengan air laut sehingga menyebabkan banjir, selain mengakibatkan ikan-ikan terdampar ketika surut.

Presiden Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) berkata, 22 orang terkorban termasuk dua remaja di kepulauan Greece selepas mereka dihempap dinding bangunan.

Terdapat pelbagai laporan mengenai bangunan yang runtuh, dengan orang terperangkap di bawahnya di beberapa daerah di Izmir, salah satu kawasan pelancongan utama, kata para pegawai Turki.

Datuk Bandar Izmir, Tunc Soyer mengatakan sekitar 20 buah bangunan runtuh di wilayah itu. 

Katanya lagi, 70 penduduk diselamatkan selepas terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Turki adalah antara negara yang paling kerap dilanda gempa bumi di dunia.  

Pada Ogos 1999, lebih daripada 17,000 orang terbunuh ketika gempa dengan kekuatan 7.6 pada skala Richter melanda Izmit, sebuah bandar di tenggara Istanbul. 

Pada tahun 2011, gempa di bandar timur Van mengorbankan lebih dari 500 orang. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button