Berita UtamaDunia

Rakyat Gaza kembali bekerja selepas Israel buka pintu sempadan

Pengantara desak Tel Aviv buka lintasan elak ketegangan

GAZA, 13 Rabiulawal 1445H, Jumaat – Ribuan rakyat Palestin dari Gaza kembali bekerja di Israel dan Tebing Barat yang diduduki pada Khamis apabila lintasan sempadan dibuka semula selepas penutupannya selama dua minggu.

Seorang pegawai Palestin berkata, Israel membuka semula sempadan ‘atas permintaan pengantara untuk meredakan ketegangan.’

Langkah itu dibuat di tengah-tengah peningkatan usaha antarabangsa oleh Mesir dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk meredakan ketegangan dan mencegah pusingan baharu konflik bersenjata di Gaza.

Sejak dua minggu lalu, peserta himpunan Palestin yang membaling batu dan bahan letupan berhadapan dengan tentera Israel yang bertindak balas dengan tembakan langsung.

Tujuh rakyat Palestin terbunuh dan lebih 100 cedera akibat keganasan Israel.

Dalam pada itu, Israel berkata, penilaian keselamatan akan menentukan sama ada sempadan kekal terbuka.

Rakyat Palestin menunggu di kompleks lintasan pejalan kaki Erez sejak awal pagi Khamis termasuk bermalam di sana.

“Kami mengetahui pada tengah malam bahawa lintasan akan dibuka dan saya telah menunggu di sini sejak satu pagi,” kata Awni Abu Oda, yang bekerja di Tel Aviv.

“Kami mahu pergi bekerja dan mencari rezeki untuk anak-anak kami kerana keadaan terlalu buruk untuk kami sejak dua minggu lalu,” kata Khaled Zurub, 57, yang bekerja dalam bidang pembinaan di Israel.

Kira-kira 18,000 penduduk Gaza mempunyai permit daripada pihak berkuasa Israel untuk bekerja di luar kawasan yang disekat, menyuntik kira-kira AS$2 juta sehari kepada ekonomi wilayah miskin itu. – Agensi

Pautan terdahulu;
https://ismaweb.net/2023/09/21/18000-rakyat-palestin-tak-dapat-pergi-kerja-gara-gara-israel-tutup-sempadan/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button