Kolumnis

Kasih Nabi ﷺ terhadap wanita

Angkat darjat mereka ke tahap tinggi setelah direndahkan jahiliyah

PERUTUSAN Nabi ﷺ ke dunia adalah rahmat buat seluruh manusia. Seluruh lapisan manusia sama ada anak-anak kecil mahupun orang-orang tua, lelaki mahupun perempuan, semuanya mendapat sentuhan dan petunjuk dari baginda ﷺ.

Untuk kaum wanita khususnya, baginda ﷺ telah mengangkat darjat mereka ke tahap yang tinggi setelah jahiliyah merendah-rendahkannya. Baginda ﷺ telah mengangkat darjat wanita sama taraf dengan lelaki tanpa mengurangkannya sedikit pun. Baginda ﷺ juga telah banyak meriwayatkan pesanan-pesanan khusus buat wanita. Di samping itu, baginda juga banyak menunjuk ajar isteri-isteri dan anak baginda berkaitan hal ehwal wanita yang menjadi petunjuk buat umat wanita.

Wanita Saudara Bagi Lelaki

Baginda ﷺ telah menyatakan bahawa kejadian lelaki dan wanita adalah sama. Kedua-duanya dari air mani kemudian ketulan darah kemudian ketulan daging kemudian dibentuk tulang-tulang dan dibungkus tulang-tulang dengan daging. Tidak ada beza pada keduanya, lelaki dan perempuan.

Malah baginda ﷺ menjelaskan bahawa wanita adalah saudara bagi lelaki. Wanita adalah sama dengan lelaki dari sudut kemuliaan insan dan kedudukannya sebagai hamba Allah. Sabda baginda;

“Sesungguhnya wanita itu saudara bagi lelaki” (HR Tirmizi dan Abu Dawud).

Berlembut Dengan Wanita

Baginda ﷺ seterusnya menyarankan agar wanita dijaga dan dipelihara dengan baik. Baginda ﷺ menegaskan dan menjelaskan tabiat semula jadi kejadian kaum hawa yang telah Allah ciptakan. Wanita berbeza dengan lelaki dari segi penciptaan apabila baginda menyatakan wanita dicipta dari tulang rusuk yang bengkok. Bengkok bermaksud wanita ini ada kelemahannya yang tersendiri dan jiwanya lembut serta sensitif. Baginda ﷺ menganjurkan agar berkelakuan baik dan lembut dengan wanita serta sabar di atas sikapnya yang bengkok dan juga kelemahan akalnya. Pimpinlah wanita dengan cara memaafkan mereka dan bersabarlah terhadap kebengkokan mereka. Maka baginda ﷺ berpesan dengan sabdanya:

“Nasihatilah para wanita kerana wanita diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok dan yang paling bengkok daripada tulang rusuk itu adalah pangkalnya, jika kamu cuba untuk meluruskannya maka ia akan patah, namun para wanita”. (HR Bukhari)

Keistimewaan kaum wanita diangkat lagi apabila baginda ﷺ menyatakan bahawa menjaga anak perempuan dengan baik juga boleh mendinding seseorang dari api neraka. Di dalam sebuah kisah, Urwah bin Zubair berkata bahawa Aisyah RA pernah bercerita bahawa seorang wanita datang kepadanya meminta-minta bersama dua orang anak perempuan akan tetapi Aisyah RA tidak memiliki apa-apa melainkan sebiji kurma. Aisyah pun memberikan kurma itu kepada wanita tersebut lantas wanita tersebut membahagi dua kurma tadi dan diberikan kepada dua anak perempuannya. Kemudian Nabi ﷺ datang dan Aisyah RA menceritakan perkara tersebut kepada baginda ﷺ lantas baginda ﷺ bersabda;

“Barang siapa yang menanggung dua anak perempuan lalu berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi pendinding baginya dari api neraka”. (HR Bukhari)

Malah dalam sebuah hadis yang sangat popular, apabila baginda ﷺ ditanya oleh seorang lelaki, siapakah orang yang paling berhak untuk dia hormati. Lantas baginda ﷺ menjawab “Ibumu” sebanyak tiga kali dan kemudian barulah baginda menyebut “Bapamu”.

Kisah-kisah di atas jelas menunjukkan bahawa baginda ﷺ amat mengambil berat berkaitan wanita. Sangat kasih dan lembutnya kepada wanita. Malah baginda ﷺ juga sangat memuliakan wanita.

Belas dan Kasih Terhadap Wanita

Baginda ﷺ juga bersikap lemah lembut dengan kaum wanita. Di dalam sebuah riwayat, baginda ﷺ menyambut kehadiran sekumpulan wanita dan anak-anak dalam satu majlis perkahwinan dengan ucapan;

“Ya Allah… kalian adalah termasuk golongan manusia yang paling aku sayangi.” Baginda ﷺ mengulanginya sebanyak tiga kali. (HR Bukhari dan Muslim)

Di dalam satu kisah lain yang diceritakan oleh Anas bin Malik bahawa ada seorang wanita datang kepada Rasul ﷺ sambil mengendong bayinya dan baginda bercakap-cakap dengannya kemudian baginda ﷺ berkata; “Demi jiwaku yang berada di dalam genggamanNya, kalian adalah orang-orang yang paling aku cintai.” Baginda ﷺ mengulanginya sebanyak dua kali. (HR Bukhari dan Muslim)

Dalam mendidik isteri pula, baginda ﷺ telah menyarankan agar berhemah dan tidak bertindak kasar dengan mereka. Nabi ﷺ;

“Ingatlah, berbuat baiklah kepada wanita. Jika mereka melakukan (perbuatan nista), maka tinggalkanlah mereka di tempat tidur mereka dan pukullah mereka dengan pukulan yang tidak melukai. Jika ia mentaati kalian, maka janganlah berbuat aniaya terhadap mereka.” (HR Tirmizi)

Sepertimana disebutkan di dalam surah al-Nisa’ ayat 34 bahawa lelaki adalah pemimpin buat kaum wanita. Maka pimpinlah wanita dengan sebaik-baiknya.

Wanita (Isteri) Adalah Amanah

Baginda seterusnya mengingatkan bahawa isteri adalah merupakan amanah Allah yang mesti dipelihara dengan baik. Ia bukan permainan dan perhiasan semata-mata. Padanya ada hak yang perlu diberikan. Ia adalah amanah yang akan ditanya di akhirat kelak. Sabda baginda ﷺ;

“Bertakwalah kepada Allah dalam perihal wanita. Kerana sesungguhnya kalian mengambil mereka dengan amanat Allah dan dihalalkan atas kalian kemaluan mereka dengan kalimat Allah. Maka hak mereka atas kalian adalah memberi nafkah dan pakaian kepada mereka dengan cara yang ma’ruf.”(HR Muslim)

Demikianlah kasih dan belasnya baginda ﷺ terhadap kaum wanita. Tidak langsung ada diskriminasi atau penindasan seperti mana yang digembar-gemburkan oleh golongan liberal. Malah kaum wanita juga berhak mendapat ganjaran dan pahala atas amal kebaikan yang dilakukannya. Tidak ada yang membezakan antara lelaki dan wanita melainkan iman dan takwa.

Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Dr Suriani Sudi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button