Berita Utama

Macau Scam: Lelaki lari dibebas SPRM kini direman bawah POCA

Perintah reman selama 21 hari bagi bolehkan siasatan lanjut

KUALA LUMPUR, 14 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Seorang lelaki yang menjadi tumpuan umum kerana berjaya melarikan diri daripada ditahan polis sejurus dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabat suruhanjaya itu pada 11 Oktober lepas, kini direman di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata perintah reman selama 21 hari itu yang berkuat kuasa hingga 20 November ini bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap suspek berhubung sindiket Macau Scam dan perjudian dalam talian.

“Perintah reman itu dibacakan terhadap suspek di Lokap Berpusat Jinjang pagi ini,” katanya ketika dihubungi di sini.

Lelaki itu yang berjaya diberkas semula oleh pihak berkuasa pada 27 Oktober lalu, sebelum ini direman tiga hari hingga semalam untuk membantu siasatan menurut Seksyen 4(1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Pada 13 Okt lepas, SPRM mengesahkan seorang suspek sindiket ‘cuci duit’ atau pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan perniagaan beberapa selebriti tanah air, melarikan diri ketika hendak ditahan oleh polis sejurus dibebaskan SPRM.

Lelaki itu dilaporkan memanjat pagar dengan dibantu oleh pengawal peribadinya sejurus dibebaskan oleh SPRM dalam kawasan ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya.

Pada 16 Oktober, polis mendedahkan kepada umum butiran suspek tersebut yang dikehendaki bagi membantu siasatan tiga kes melibatkan penganjuran judi dalam talian di sekitar ibu negara dan Selangor.

Suspek juga dikatakan menjadi penyelaras aktiviti Macau Scam menyasarkan rakyat China di republik itu.

Pada 27 Oktober lepas, pihak berkuasa dilaporkan berjaya memberkas lelaki itu yang bersembunyi di sebuah hotel di kawasan peranginan di luar Lembah Klang. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button