Berita Utama

MKN rangka pelan kawal COVID-19 untuk jangka masa panjang

Ia berdasarkan penilaian fakta, pengalaman kerajaan sejak Januari

KUALA LUMPUR, 14 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang merangka pelan tindakan menyeluruh bagi menjamin wabak COVID-19 terus terkawal meskipun pandemik itu berterusan untuk jangka masa panjang.

Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Pengurusan Keselamatan) MKN, Datuk Rodzi Md Saad berkata pelan tindakan tersebut akan berdasarkan penilaian fakta dan pengalaman tindakan yang telah dilakukan kerajaan dalam mengawal COVID-19 sejak Januari tahun ini.

“MKN masih dalam proses menganalisis semua corak tindakan yang telah dilakukan. Tindakan yang dipilih daripada sampel-sampel yang mempunyai kesan baik akan digabungkan supaya ia dapat menjadi satu pelan hadapan yang boleh menjadi panduan untuk semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi, bertajuk ‘Pengurusan COVID-19: Pelaksanaan, Cabaran dan Masa Depan’.

Dalam pada itu, Rodzi berkata keadaan geografi negara seperti kawasan pedalaman yang luas, perairan terbuka yang bersempadan dengan negara jiran di pantai timur Sabah menjadi cabaran besar dalam memerangi pandemik COVID-19.

Sehubungan itu katanya penguatkuasaan di kawasan sempadan perairan dan daratan bagi menyekat kemasukan pendatang tanpa izin yang mungkin pembawa COVID-19 menjadi perkara penting ketika ini di samping usaha menyekat penularan tempatan.

“Penularan COVID-19 yang tinggi di negara jiran dengan kemasukan pendatang tanpa izin yang ramai, menyebabkan ia menjadi satu fenomena sekali gus menambahkan kadar kes di negara kita,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button