Pemandu kereta tak waras rempuh pintu Masjidil Haram
Kenderaan bergerak laju langgar penghadang plastik di halaman masjid

MAKKAH, 14 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Pihak berkuasa Arab Saudi menahan seorang lelaki yang merempuh keretanya ke salah satu pintu Masjidil Haram di Makkah, malam tadi, lapor agensi berita negara, SPA.
Jurucakap Gabenor wilayah Makkah, Sultan al-Dosari mengatakan bahawa pada jam 10.30 malam waktu tempatan (3.30 pagi waktu Malaysia), pihak berkuasa keselamatan di Mekah mengambil tindakan susulan berlakunya satu kemalangan di mana sebuah kereta melanggar salah satu pintu masuk Masjidil Haram.
“Kereta itu bergerak dengan kelajuan tinggi di salah satu laluan di sekitar halaman selatan Masjidil Haram. Syukurlah, tidak ada yang cedera.
“Pemandu itu ditangkap. Dia adalah warga negara Saudi dan berada dalam keadaan tidak waras. Dia dirujuk ke pendakwa raya untuk soal siasat,” katanya.
UPDATE | A Hyundai car, beige colored, collided at Door 89 of Masjid Al Haram at 10:25 pm And the driver was arrested inside the expansion of King Fahad No one was hurt, Alhamdulillah pic.twitter.com/C4TX6cvODs
— Haramain Sharifain (@hsharifain) October 30, 2020
Terdahulu, video yang disiarkan di media sosial menunjukkan kereta Hyundai itu melanggar penghadang plastik di halaman luar masjid sebelum memandu terus ke salah satu pintu besar masjid – pintu 89.
Akhbar Saudi Okaz melaporkan, tiada orang awam yang cedera dalam nahas itu, sementara video lain yang disiarkan di media sosial menunjukkan sebilangan orang menolak kenderaan itu dari kompleks masjid. – Agensi