Berita Utama

SPRM siasat isu penjualan tanah lapangan terbang

SPRM akan panggil beberapa individu dalam masa terdekat

IPOH, 4 Ramadan 1443H, Rabu – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan isu penjualan tanah untuk tapak cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

Pengarah SPRM negeri Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata siasatan itu dilakukan susulan aduan rasmi yang diterima daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi Datuk Asmuni Awi semalam.

“Penyiasatan dimulakan bagi mengenal pasti sama ada wujud sebarang kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

“SPRM akan memanggil beberapa individu yang berkaitan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan individu-individu yang dipanggil untuk hadir ke Ibu Pejabat SPRM Meru Raya di sini bagi membantu siasatan penjualan tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) seluas 188 hektar itu kepada sebuah syarikat swasta.

Semalam, empat bekas Exco Kerajaan Negeri Perak ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) termasuk Asmuni meminta SPRM melakukan siasatan terperinci kerana mendakwa ia tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri atau Lembaga Pengarah PKNP ketika itu.

Khamis lepas, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata tanah itu telah dijual kepada sebuah syarikat swasta semasa pentadbiran kerajaan PH kerana ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN), ia dirizabkan kepada PKNP bagi tujuan pembinaan lapangan terbang antarabangsa.

Sebelum ini, ADUN Aulong Nga Kor Ming semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Perak mendakwa cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar telah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri dan berkata perkara itu adalah salah laku serius serta mahu pihak bertanggungjawab menjual tanah tersebut diheret ke muka pengadilan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button