Berita Utama

Tak perlu kerajaan perpaduan jika libat sebelah pihak saja

Tun M perlu patuh titah YDPA, saran perbincangan libat semua pihak

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 14 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Jika Tun Dr Mahathir Mohamad mahu memperjuangkan kembali kerajaan perpaduan seperti yang pernah dicita-citakannya sebelum ini, beliau harus melibatkan semua parti yang ada di dalam negara ini.

Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata, usaha yang hendak dilaksanakan ini mestilah menyeluruh, tidak bersifat hanya untuk kepentingan parti politik tertentu sahaja.

“Tun M mesti melibatkan semua pihak parti kerajaan dan pembangkang. Bukan hanya mengumpulkan sejumlah ahli-ahli daripada parti pembangkang dan melibatkan beberapa orang pemimpin daripada parti-parti kerajaan tertentu untuk membuat kerajaan perpaduan. 

“Itu adalah tidak wajar dalam situasi sekarang ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau menegaskan, usaha tersebut mesti melibatkan semua pihak, bagi memungkinkan ia menjadi relevan dalam keadaan semasa.

Katanya, perbincangan itu juga perlu termasuk pemimpin-pemimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Sekiranya dapat dicapai kata sepakat maka kerajaan yang hendak ditubuhkan itu mesti melibatkan semua parti. Tidak sekadar blok-blok tertentu sahaja,” katanya.

Sebaliknya, jika rancangan Dr Mahathir ini berlaku hanya untuk sebelah pihak sahaja, bererti ia tidak menghormati saranan Yang di-Pertuan Agong dan juga gesaan semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO). 

“Haruslah ahli politik menghormati suasana di mana negara kita sekarang sedang berdepan dengan cabaran yang getir terutama peningkatan kes COVID-19 yang mencecah purata 800-1,000 kes sehari.

“Pada masa sama negara kita berdepan dengan situasi ketidaktentuan ekonomi yang telah menyebabkan rakyat kehilangan pendapatan dan sedang mengalami keperitan hidup. 

“Kita menyarankan supaya ahli-ahli politik dapat bersama-sama duduk semeja, berunding,” katanya.

Tambahan lagi, kata Dr Mazlan apabila awal bulan November ini akan dibentangkan Belanjawan 2021 oleh kerajaan.

“Sangat penting dipastikan ia menjadi realiti. Kerana belanjawan ini dapat menentukan kesejahateraan hidup rakyat dan kemakmuran di masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan bahawa Dr Mahathir dengan beberapa pemimpin politik berbincang mengenai cadangan membentuk kerajaan perpaduan.

Sumber daripada pejabat Dr Mahathir mengesahkan bahawa Ahli Parlimen Langkawi itu telah bertemu dengan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah Isnin lalu.

Kemudian diikuti Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada Selalu lalu dan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu, kelmarin.

Menurut sumber, ketiga-tiga pertemuan itu dikatakan telah diadakan di kediaman Dr Mahathir di Seri Kembangan, Selangor.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button