Berita Utama

Tangani isu alkohol, judi intipati Belanjawan Alternatif 2021 BERJASA

Fokus 5 teras utama bertemakan ‘Rakyat Dijaga, Watan Dibina’

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 14 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Agenda besar mengurangkan impak industri alkohol dan judi antara intipati yang terdapat dalam Belanjawan Alternatif 2021 Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA).

Bertemakan ‘Rakyat Dijaga, Watan Dibina’, dokumen belanjawan yang julung kali dihasilkan itu bakal dilancarkan dalam masa terdekat.

Terdapat lima teras yang menjadi fokus utama di dalam dokumen berkenaan iaitu Pemulihan Pandemik; Pemantapan Taraf Hidup Rakyat; Agenda Ekonomi Hijau; Pengukuhan Fiskal Kerajaan dan Urus Tadbir Perbendaharaan Negara.

Ketua Angkatan Pemuda-Pemudi BERJASA (ANGKASA), Hazwan Mohamad mendedahkan, cadangan Belanjawan Alternatif 2021 merangkumi pelan jangka masa pendek dan juga panjang.

Tegasnya, sektor kesihatan awam antara perkara yang dititikberatkan supaya negara yang menghadapi impak pandemik atau krisis kesihatan di masa hadapan dapat belajar daripada mana-mana kesilapan yang dilakukan sebelum ini. 

Manakala dalam agenda Pemantapan Taraf Hidup Rakyat pula, dedahnya lagi, BERJASA bakal menitikberatkan isu penggangguran anak muda serta menyentuh berkenaan sektor pekerjaan yang mula membuang pekerja.

“Kita sentuh juga soal impak sosial. Kita beri cadangan untuk mengurangkan kesan negatif industri alkohol dan perjudian.

“Selain itu, pembangunan dan survival rakyat marhaen di pedalaman Sabah dan Sarawak perlukan perancangan khusus. Ini juga diletakkan dalam belanjawan BERJASA,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Belanjawan 2021 dijadualkan dibentang oleh kerajaan pada 6 November ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan kerajaan akan menumpukan usaha memerangi habis-habisan pandemik COVID-19 dalam Belanjawan 2021.

Katanya, sebelum ini sebanyak RM305 bilion (telah digunakan) dan Belanjawan 2021 akan memberi tumpuan dalam usaha mengawal pandemik COVID-19 supaya ia tidak menular.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button