Berita Utama

Tindakan KKM berjaya turunkan kadar R-naught

Terhasil daripada perlahankan aktiviti sosial, pendidikan, sukan

PUTRAJAYA, 14 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Tindakan yang dilaksana selama lebih dua minggu oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mengimbangi antara sektor kesihatan dan ekonomi telah berjaya menunjukkan hasil yang positif dengan penurunan kes-kes kebolehjangkitan iaitu R-naught (R0) kurang daripada 1.0.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata hasil usaha tersebut adalah dengan membenarkan sektor ekonomi untuk berfungsi tetapi memperlahankan atau menangguhkan aktiviti sektor sosial, pendidikan dan sukan di kawasan zon merah.

“Jika kita mengguna R0 1.0, sepatutnya semalam dan hari ini kita mendapat kes yang dilaporkan sebanyak 950 tetapi kita dapati ia kurang dari 950 iaitu 799 semalam dan 659 kes pada hari ini.

“Ini bererti jika kita mengikut unjuran R0 1.0 kita adalah kurang dari R0 1.0,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Noor Hisham berkata dalam tempoh dua minggu ini, KKM akan mempergiatkan aktiviti dan pengurusan pesakit COVID-19 dan tindakan aktiviti di lapangan bagi membendung penularan serta memutuskan rantaian jangkitan wabak itu, di dalam negara.

“Kita juga perlu kerjasama dari rakyat Malaysia untuk patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan paling penting duduk di rumah. Jika kalau terpaksa keluar rumah, sila patuh kepada SOP,” katanya.

Beliau berkata jika semua pihak patuh dan mengikut kaedah tersebut, pihaknya boleh meratakan atau landaikan kes iaitu R0 kurang daripada 1.0 hingga 0.3.

Jelasnya, perkara itu tidak mustahil kerana di Kedah sebelum ini terdapat peningkatan kes yang tinggi dengan wujudnya banyak kluster dan hari ini hanya dua kes dilaporkan di negeri itu.

Tegasnya, itu adalah hasil tindakan kesihatan awam dan saringan yang tertumpu pada kawasan dan zon yang disyaki serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran.

“Di Lembah Klang dan Selangor kita boleh juga kawal dan cegah COVID-19 ini kalau kita guna kaedah yang sama. Kita tidak ada vaksin setakat ini dan tidak ada ubat tapi kita ada kaedah kesihatan awam untuk kita menguruskan bagi memutus rantaian jangkitan wabak ini,” tambahnya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button