Berita Utama

UMANY jangan cuba kejutkan harimau sedang tidur!: WIBAWA

Keluar dari negara ini jika tak mahu faham Perlembagaan

BANGI, 14 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Perbuatan biadab University of Malaya Association of New Youth (UMANY) sepertinya mahu mengejutkan harimau yang sedang tidur.

Demikian amaran dilemparkan Kelab Mahasiswa BERJASA (WIBAWA) susulan pertubuhan dipercayai pro-DAP itu mempersoalkan campur tangan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam urusan pentadbiran negara.

WIBAWA menegaskan, orang Melayu merupakan bangsa yang begitu bertolak ansur dengan mana-mana kaum atau agama di negara ini, namun jangan sesekali cuba mengkhianati kebaikan itu.

Oleh yang demikian, secara sinis WIBAWA meminta UMANY keluar dari negara ini jika tidak mahu memahami Perlembagaan Malaysia.

Jelasnya, ini kerana tindakan UMANY yang tanpa usul periksa mempertikai kuasa miliki seorang raja sebagai memalukan dan mengecewakan.

“Pemahaman yang cetek tentang Perlembagaan dan takrifan yang salah telah memburukkan imej mahasiswa. Jangan kejutkan harimau yang sedang tidur, kami bangsa yang sangat bertolak ansur dengan kaum dan agama lain.

“Jika tidak mahu menerima Perlembagaan ini, sila keluar wahai tetamu,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Pada masa sama, WIBAWA turut mengingatkan UMANY untuk tidak menunjukkan ‘kebijaksanaan’ jika perkara berkaitan pentadbiran dan Perlembagaan disalah erti demi kerakusan nafsu si tamak haloba.

“Proksi politik yang menjatuhkan imej mahasiswa dan mengetengahkan maksud politik yang salah.

“Oleh itu, sudah tiba masanya kita menghalau semua yang tidak mahu memahami Perlembagaan Malaysia yang telah tertakluk sekian lama. Jika tak suka, silakan keluar wahai ‘tetamu’, tiada siapa yang menghalang,” katanya.

Sebelum ini, UMANY berkata, Malaysia telah meneruskan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan sejak penubuhannya.

Kata pertubuhan itu, di bawah sistem ini, walaupun Malaysia mengekalkan sistem monarki, raja hanya mempunyai status simbolik yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Artikel 40, perenggan 1A Perlembagaan, Ketua Tertinggi Persekutuan harus bertindak sesuai dengan nasihat yang dibuat oleh Kabinet.

Sama ada melantik Ketua Hakim, duta diplomatik bahkan meluluskan berbagai undang-undang di Parlimen, raja tidak mempunyai wewenang, kata UMANY.

Pertubuhan itu menyatakan pendiriannya iaitu YDPA tidak boleh mencampuri urusan negara tetapi perlu sentiasa menjaga sikap berkecuali dan memainkan peranannya dalam kerangka yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button