Berita Utama

Beri ruang Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 jalankan tugas: Pakar

Kewujudannya dapat kurangkan risiko salah guna kuasa oleh kerajaan

BANGI, 2 Zulkaedah 1442H, Ahad – Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 perlu diberikan kebebasan dan kemudahan yang diperlukan untuk melaksanakan tugasnya.

Pakar perlembagaan, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, jawatankuasa khas bebas itu penting bagi memastikan Darurat 2021 benar-benar dilaksanakan sesuai dengan maksudnya iaitu untuk menangani wabak COVID-19. 

Tegasnya, jawatankuasa khas bebas ini juga berperanan sebagai salah satu elemen ‘semak dan imbang’ memandangkan kuasa darurat itu sendiri memberikan kuasa yang amat luas kepada pemerintah. 

“Kewujudan jawatankuasa khas bebas ini dapat mengurangkan risiko salah guna kuasa kerajaan menjadikan Proklamasi Darurat sebagai alat politik untuk mengekalkan kuasa.

“Jawatankuasa khas bebas bukanlah badan eksekutif dan bukan juga badan legislatif, tetapi ia adalah badan khusus yang ditubuhkan melalui Ordinan Darurat berpaksikan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. 

“Ia tidak terletak di bawah Jemaah Menteri atau Perdana Menteri, tetapi ia berdiri sendiri dan bertanggungjawab kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan nasihat yang terbaik, jujur dan tepat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan berkata, persoalan mengenai sama ada darurat yang tamat 1 Ogos depan akan diteruskan atau tidak, atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong tidak seharusnya timbul.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab Jemaah Menteri untuk terus menasihati Seri Paduka selaku ketua utama negara dalam membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat, selepas mengambil kira semua keadaan semasa dan faktor berkaitan, termasuk keselamatan orang ramai, sosial serta ekonomi negara.

Bagaimanapun, kenyataan beliau dikecam pelbagai pihak termasuk Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat, Tan Sri Noh Omar yang menyifatkan kenyataan itu sebagai satu penghinaan kepada beliau dan ahli jawatankuasa terbabit.

Sementara itu, Prof Muhammad Fathi menegaskan, Jemaah Menteri dan Perdana Menteri tetap mempunyai kuasa umum di bawah Perlembagaan dan kedudukannya sebagai badan eksekutif dalam tempoh darurat sebagaimana yang termaktub dalam Seksyen 11(a) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

Namun, peranan khusus untuk menentukan tempoh darurat terletak pada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat jawatankuasa khas bebas.

“Yang di-Pertuan Agong selaku ketua utama negara, yang turut memiliki beberapa kuasa budi bicara khusus dalam Perlembagaan Persekutuan, mempunyai peranan yang jelas untuk memastikan jawatankuasa khas bebas memberikan nasihat yang berwibawa sesuai dengan ketinggian martabat baginda sebagai payung utama rakyat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button