Berita Utama

Belanjawan 2021: Syor perkenal bantuan setem makanan, lanjut moratorium

Keluarkan KWSP, mungkin boleh dilaksana, tapi dalam kaedah pinjaman

SEREMBAN, 15 Rabiulawal 1442H, Ahad – Pakar ekonomi mengesyorkan supaya golongan yang sangat terjejas dengan wabak COVID-19 dibantu melalui pemerkasaan kaedah sedia ada seperti peluasan inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, kerajaan boleh memperkenalkan bantuan setem makanan, selain melanjutkan tempoh moratorium pembayaran balik pinjaman.

Kaedah berkenaan lebih sesuai berbanding pengeluaran wang daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang merupakan satu bentuk simpanan untuk hari tua, katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan Universiti Tun Abdul Razak itu menjelaskan, kerajaan memang sentiasa berhutang dengan KWSP, jadi pengeluaran dibenarkan, kerajaan perlu membayar hutang terlebih dahulu untuk membolehkan KWSP mempunyai cukup wang untuk dibayar kepada pencarum.

“Pencarum sebenarnya sedang keresahan dan mereka mungkin merasakan (pengeluaran Akaun 1) jalan keluar yang mudah.

“…sedangkan KWSP diwujudkan untuk memastikan setiap mereka yang bekerja akan mempunyai simpanan selepas bersara,” katanya seperti dilapor Bernama hari ini.

Bagaimanapun, Prof Barjoyai berkata, kerajaan boleh melaksanakan kaedah itu dalam bentuk pinjaman – pencarum perlu ‘membayar balik’ menerusi jumlah caruman yang lebih tinggi pada masa depan.

“Mereka boleh ambil (daripada Akaun 1) tapi perlu bayar semula melalui jumlah caruman yang sedikit tinggi pada masa depan.

“Misalnya kalau sekarang mencarum 11 peratus (daripada jumlah gaji bulanan), boleh tambah 15 peratus untuk ‘recover’ semula dan kalau majikan juga boleh bantu dengan turut menambah caruman kepada pekerja,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button