Berita Utama

Belanjawan 2021: Syor tingkatkan peluang pekerjaan graduan

544,500 belia masih menganggur pada Julai 2020

KUALA LUMPUR, 15 Rabiulawal 1442H, Ahad – Setiap tahun sekitar 200,000 graduan daripada institusi pengajian tinggi di negara ini dan hampir 300,000 graduan dalam dan luar negara menantikan peluang pekerjaan.

Berdasarkan dapatan kajian tinjauan terhadap golongan belia oleh pasukan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini – mereka inginkan pekerjaan dan sumber pendapatan yang tetap dan mendambakan gaji yang setimpal dan berpadanan dengan kelayakan.

Namun, dengan peluang pekerjaan terhad akibat penyusutan beberapa sektor ekonomi akibat COVID-19, golongan belia bimbang dengan pengangguran kerana hampir 544,500 belia dikatakan masih menganggur pada Julai 2020.

Justeru, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Mursyid Arshad mengesyorkan kepada kerajaan supaya memberi tumpuan kepada peningkatan peluang pekerjaan – menerusi Belanjawan 2021 yang akan dibentang, Jumaat depan.

Katanya, kerajaan disaran menyediakan peluang pekerjaan berorientasikan pendigitalan – sekali gus membolehkan golongan belia dan mereka yang hilang pekerjaan tidak lagi bergantung kepada pekerjaan ‘makan gaji’ semata-mata.

“Penjanaan pendapatan melalui Ekonomi Gig (Gig Economy) merupakan ruang yang berpotensi besar dalam suasana pendigitalan pada hari ini dan golongan belia disaran untuk merebut peluang sebaik-baiknya dan memanfaatkan insentif yang disediakan oleh kerajaan melalui program myGIG Belia.

“Namun, Belanjawan 2021 juga perlu memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur jalur lebar secara lebih agresif kerana sektor pekerjaan dan pendidikan kini sangat bergantung kepada jalur lebar tetapi masih terdapat ‘blind spot’ di kawasan dalam bandar yang mengalami masalah Internet apatah lagi bagi kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya seperti dilapor Bernama.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan meneruskan insentif ‘Place and Train’ melalui program latihan perantisan.

Ia bagi menggalakkan lebih banyak pemain industri terutamanya syarikat korporat dalam menyediakan latihan, pengalaman dan peluang pekerjaan kepada graduan dan individu yang kehilangan pekerjaan.

“Peluang kolaborasi antara institusi pengajian tinggi dengan pemain industri perlu disemarakkan secara berterusan agar graduan yang dihasilkan sepadan dengan keperluan industri pada masa kini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button