Berita UtamaDunia

Kebebasan bersuara ada batas, PM Kanada tempelak Presiden Perancis

Tindakan Charlie Hebdo mahu terbitkan semula karikatur Nabi Muhammad ﷺ dikecam

OTTAWA, 15 Rabiulawal 1442H, Ahad – Hak kebebasan bersuara boleh dipraktikkan, tetapi bukan bermakna dilakukan tanpa batas dan sewenang-wenangnya melukai masyarakat tertentu.

Demikian tegas Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau mengulas isu kontroversi karikatur Nabi Muhammad ﷺ, seperti yang diterbitkan akhbar mingguan Satira Perancis, Charlie Hebdo dari Perancis.

“Kami akan selalu mempertahankan kebebasan berekspresi. Tetapi kebebasan bersuara bukan tanpa batasan.  

“Kita ada kewajipan untuk menghormati orang lain dan berusaha untuk tidak melukai orang lain yang sama-sama hidup bermasyarakat,” katanya. 

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan Charlie Hebdo mahu menerbitkan semula kartun kontroversi menghina Nabi Muhammad ﷺ, yang menjadi punca serangan penembak beragama Islam terhadap akhbar berkenaan pada 2015.

Difahamkan, tindakan itu adalah bagi menandakan bermulanya perbicaraan pasangan adik beradik, Said dan Cherif Kouachi melakukan serangan bersenjata di pejabat akhbar itu di Paris.

Seramai 12 orang termasuk beberapa kartunis terkemuka Perancis, terbunuh dalam tragedi 7 Januari 2015 itu. Selain dua beradik terbabit, 14 individu lain didakwa bersekongkol dalam serangan sama, yang turut menyasarkan sebuah pasar raya Yahudi.

Malaysia bagaimanapun mengecam tindakan Charlie Hebdo yang mahu menerbitkan semula karikatur Nabi Muhammad ﷺ.

Sementara itu, Trudeau yang tidak senada dengan pendirian Presiden Perancis, Emmanuel Macron – susulan kes selepas seorang guru menunjukkan karikatur yang didakwa Nabi Muhammad ﷺ, memohon pemimpin itu menggunakan hak kebebasan bersuara secara berhati-hati.

“Dalam masyarakat majmuk, beragama dan beradab, kita mempunyai kewajipan untuk memastikan kata-kata dan tindakan kita tidak mendiskriminasi atau menghina pihak lain,” katanya.

Macron sebelum ini, mencetuskan kemarahan dunia Islam apabila mendakwa orang Islam sebagai penganut fahaman pemisah, juga menuduh Islam sebagai agama krisis di seluruh dunia.

Bahkan, Macron turut menyatakan negara itu tidak akan melarang karikatur yang menghina Islam dan Nabi Muhammad ﷺ. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button