Berita Utama

Vaksin COVID-19 keluaran Sinovac tiba di Malaysia

Boleh diproses menjadi lebih 300,000 dos untuk keperluan Malaysia

SEPANG, 15 Rejab 1442H, Sabtu – Malaysia hari ini menerima vaksin COVID-19 keluaran Sinovac yang diterbangkan dari Beijing, China menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH319.

Pesawat Airbus 330-300 dengan hiasan Jalur Gemilang yang membawa envirotainer mengandungi vaksin COVID-19 dalam bentuk cecair sebanyak 200 liter itu, mendarat pada kira-kira 9 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.

Vaksin COVID-19 yang dibangunkan firma farmaseutikal China, Sinovac itu diangkut menggunakan pesawat Passenger-to-Cargo (PC2) iaitu pesawat penumpang digunakan untuk perkhidmatan kargo, boleh diproses menjadi lebih 300,000 dos untuk keperluan Malaysia.

Ketibaan pesawat itu disambut Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Turut serta ialah Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button