Berita Utama

PRU15: PAS Terengganu bersedia bertembung termasuk BN

Masih berusaha mempertahankan hubungan dengan UMNO menerusi MN

BANGI, 3 Rabiulawal 1444H, Jumaat – PAS Terengganu bersedia bertembung dengan mana-mana parti politik termasuk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pertembungan berkenaan tidak dapat dielakkan sekiranya BN kekal dengan pendirian untuk bergerak solo, kata Penolong Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri, Hanafiah Mat.

“Kita bersedia menghadapi siapa musuh yang akan bertanding dengan kita selain daripada Pakatan Harapan (PH), kalau BN sanggup bertembung, kita akan lawan.

“Kita yakin hari ini seluruh rakyat negeri Terengganu yang kita jumpa semua memberi kepercayaan dan menaruh harapan PAS memerintah selepas PRU15 kerana rakyat sangat puas hati dengan apa yang PAS lakukan sepanjang memerintah.

“PAS Terengganu akan mempertahankan 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan enam Parlimen yang dimenangi pada PRU sebelum ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai itu berkata, PAS sehingga kini masih berusaha mempertahankan hubungan dengan UMNO menerusi kerjasama Muafakat Nasional (MN).

Tegas beliau semuanya dilakukan berikutan patuh dengan pendirian Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mahu negara kekal diperintah oleh orang Melayu.

“Jadi setakat ini, kita masih mempertahankan MN, terpulang kepada pimpinan negeri Terengganu,” katanya.

Sebelum ini, UMNO Terengganu bertegas dan memutuskan untuk bergerak solo serta sedia bertanding di semua lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN dalam PRU15.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button