Berita UtamaDunia

Korban gempa bumi Turki kini 51 orang, usaha pencarian sukar

Lebih 800 gempa susulan berlaku selepas gempa pertama

ANKARA, 15 Rabiuawal 1442H, Ahad – Pasukan penyelamat bertungkus lumus mengesan mangsa yang berkemungkinan masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan akibat gempa bumi kuat di barat Turki.

Hampir 6,000 anggota penyelamat ditugaskan sejak Jumaat, dibantu jentera penggali untuk membuang bongkah konkrit.

Pasukan penyelamat meluahkan kebimbangan, harapan untuk mencari lebih banyak mangsa terselamat semakin sukar.

Seorang pegawai di lokasi sebuah bangunan runtuh berkata, mereka percaya sekurang-kurangnya 10 mangsa masih berada di bawah runtuhan.

Setakat ini, jumlah kematian meningkat kepada 51 orang, manakala hampir 300 bangunan mengalami kerosakan.

Gempa bumi berukuran 7.0 sekala Richter yang melanda Laut Aegean turut mencederakan lebih 800 penduduk, lapor Lembaga Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD).

Bandar Turki yang paling teruk terjejas adalah Bayrakli – keluarga yang masih trauma dengan tragedi itu memakai selimut tebal dan menghabiskan masa berlindung di khemah.

Ribuan khemah didirikan sejak arahan dikeluarkan meminta penduduk tidak kembali ke kediaman mereka.

Turki melaporkan lebih 800 gempa susulan berlaku selepas gempa pertama, termasuk 40 gegaran berkekuatan empat pada skala Richter.

Pada 1999, gempa bumi berukuran 7.4 skala Richter pernah melanda barat laut Turki dan mengorbankan 17,000 orang termasuk 1,000 di Istanbul. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button