Berita Utama

Perkasakan sekolah kebangsaan, pertingkat prasarana di kawasan pedalaman

Sediakan bantuan peranti pintar untuk anak B40 dan M40 yang layak

BANGI, 15 Rabiulawal 1442H, Ahad – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) mahu kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin memperkasakan Sekolah Kebangsaan (SK) dan menjadikan ia sekolah pilihan semua rakyat Malaysia.

Menerusi Belanjawan 2021 yang akan dibentang Jumaat ini, Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan turut meminta kerajaan meningkatkan prasarana di sekolah luar bandar dan juga pedalaman.

“Tingkatkan akses capaian internet untuk tangani pembelajaran dalam talian. Kerajaan perlu sediakan bantuan peranti pintar untuk anak-anak dari keluarga B40 dan M40 yang berkelayakan mengikut indeks kemiskinan terkini.

“Selain itu, profesionalisme guru juga perlu ditingkatkan dengan memberikan elaun utiliti disebabkan sebahagiannya bekerja dari rumah. 

“Ia termasuk kos internet, pembelian komputer dan alat peranti untuk pengajaran dan pembelajaran,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini. 

Sementara bagi sekolah-sekolah agama rakyat yang mengikuti kurikulum kebangsaan, peruntukan bajet buat mereka juga perlu ditambahkan, katanya.

Ustaz Azizee turut mengesyorkan kerajaan supaya menambahkan bilangan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) untuk memberi peluang pendidikan yang lebih baik kepada murid-murid daripada kalangan B40.

“Perkasakan juga bidang TVET untuk hadapi IR 4.0. Sediakan dana besar untuk tujuan tersebut.

“iGuru juga mengesyorkan supaya jawatan warden sepenuh masa yang bukan dari kalangan guru diwujudkan. 

“Kalau itu tidak dapat dilaksanakan, maka Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu meningkatkan elaun warden sedia ada,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button