Berita Utama

PRK Batu Sapi: Beri laluan pada Warisan bertanding tanpa dicabar

Jadikan darurat sebagai alasan tangguh pilihan raya bukan jalan terbaik

BANGI, 15 Rabiulawal 1442H, Ahad – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa parti-parti lain memberikan laluan kepada Parti Warisan Sabah untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi tanpa dicabar. 

Tindakan itu sebagai menghormati mendiang bekas Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk VK Liew dan mengelakkan PRK diadakan ketika ini, katanya. 

“Jika persefahaman sebegini boleh diusahakan, maka kita boleh memberi laluan kepada Warisan dalam PRK Batu Sapi sebagai permuafakatan nasional mengurangkan impak wabak COVID-19 kepada masyarakat. 

“Jika ini berlaku, PRK Batu Sapi tidak diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Manakala bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pula, beliau berkata, tempoh matang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak adalah pada 7 Jun 2021. 

Sehubungan itu, jika kerajaan negeri berkhidmat sehingga tamat tempoh tersebut, PRN akan diadakan 60 hari dari tarikh 7 Jun 2021. 

Keadaan itu membolehkan PRN Sarawak diadakan dalam bulan Ogos 2021.

“Saya sangat meyakini kebijaksanaan Ketua Menteri Sarawak dan pastinya beliau akan membuat keputusan terbaik dengan mengambil kira pelbagai dimensi kepentingan umum sebelum membubarkan DUN Sarawak,” katanya.

Mengharapkan keputusan terbaik dapat dicapai, Mohamad berkata, Malaysia adalah sebuah demokrasi yang berfungsi dengan baik dan ia mesti terus berfungsi dalam keadaaan paling getir sekalipun. 

“Justeru itu, semua pihak mesti menghormati kearifan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong untuk menolak darurat, mempertahankan Perlembagaan dan mengiktiraf pencapaian baik kerajaan mengawal pandemik waktu ini,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hanya jika darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di Batu Sapi dan Sarawak, maka boleh ditangguhkan kedua-dua pilihan raya ini sehingga COVID-19 berakhir.

Mohamad berkata, memohon pengisytiharan darurat sebagai alasan dan cara untuk menangguhkan keduanya bukan sahaja tidak perlu tetapi bukan jalan terbaik.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button