Berita Utama

Siasat gerakan anti-raja berselindung di sebalik nama demokrasi

‘Mereka turut sokong hapus institusi Raja Thailand sekarang’

BANGI, 15 Rabiulawal 1442H, Ahad – Pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia perlu melakukan siasatan secara terperinci ke atas gerakan anti-raja yang berselindung di sebalik nama demokrasi,

Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, terdapat gerakan yang jelas mendukung agenda asing – kini telah merebak ke beberapa buah Institut Pengajian Tinggi (IPT) melalui persatuan belia Cina di negara ini.

Katanya, senarai IPT itu termasuk, Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) di Universiti Malaysia (UM), Student Progressive Front di Universiti Utara Malaysia (UUM), Gerakan Mahasiswa Maju di Univesiti Putra Malaysia (UPM) dan Student Union di New Era University College.

“Persatuan Pelajar (Cina) University Malaya sanggah campur tangan Agong. UMANY turut bangkit menyanggah campur tangan YDP Agong dalam ehwal politik negara.

“Bahkan mereka bangkit menyokong perjuangan rakyat Thailand yang ingin menghapuskan institusi Raja Thailand sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tindakan UMANY mempersoal kuasa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendapat kecaman pelbagai pihak.

UMANY sebelum ini menerusi hantaran di Facebook mendakwa, Malaysia telah meneruskan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan sejak penubuhannya.

Kata pertubuhan itu, di bawah sistem ini, walaupun Malaysia mengekalkan sistem monarki, raja hanya mempunyai status simbolik yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Artikel 40, perenggan 1A Perlembagaan, Ketua Tertinggi Persekutuan harus bertindak sesuai dengan nasihat yang dibuat oleh Kabinet.

Sama ada melantik Ketua Hakim, duta diplomatik bahkan meluluskan berbagai undang-undang di Parlimen, raja tidak mempunyai wewenang, kata UMANY.

Pertubuhan itu menyatakan pendiriannya iaitu YDPA tidak boleh mencampuri urusan negara tetapi perlu sentiasa menjaga sikap berkecuali dan memainkan peranannya dalam kerangka yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

Bagaimanapun, hantaran UMANY di Facebook telah dipadamkan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button