Berita Utama

UM siasat segera kenyataan UMANY

Pengurusan Tertinggi Universiti kutuk kenyataan langgar prinsip hormat institusi beraja

BANGI, 15 Rabiulawal 1442H, Ahad – Universiti Malaya (UM) akan segera menjalankan siasatan mengenai hantaran laman Facebook bertajuk ‘Yang di-Pertuan Agong Tidak Sepatutnya Campur Tangan dalam Hal Ehwal Negara’ yang dimuat naik Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY).

Dalam satu kenyataan hari ini, Pejabat Komunikasi Korporat UM menegaskan bahawa universiti itu menjunjung dan menghormati institusi beraja.

“Oleh yang demikian, Pengurusan Tertinggi Universiti mengutuk sebarang kenyataan yang melanggar atau bertentangan dengan prinsip tersebut.

“Pengumuman berkaitan isu ini akan dibuat dari semasa ke semasa,” katanya.

Sebelum ini, UMANY mendakwa, Malaysia telah meneruskan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan sejak penubuhannya.

Kata pertubuhan itu, di bawah sistem ini, walaupun Malaysia mengekalkan sistem monarki, raja hanya mempunyai status simbolik yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Artikel 40, perenggan 1A Perlembagaan, Ketua Tertinggi Persekutuan harus bertindak sesuai dengan nasihat yang dibuat oleh Kabinet.

Sama ada melantik Ketua Hakim, duta diplomatik bahkan meluluskan berbagai undang-undang di Parlimen, raja tidak mempunyai wewenang, kata UMANY.

Pertubuhan itu menyatakan pendiriannya iaitu YDPA tidak boleh mencampuri urusan negara tetapi perlu sentiasa menjaga sikap berkecuali dan memainkan peranannya dalam kerangka yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

Bagaimanapun, hantaran UMANY di Facebook telah dipadamkan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button