Berita UtamaIstimewa

WIBAWA hantar surat rasmi mohon bubar, haramkan UMANY

Hantaran di Facebook beri fakta salah, ada unsur hasut, fitnah

BANGI, 15 Rabiulawal 1442H, Ahad – Kelab Mahasiswa BERJASA (WIBAWA) melancarkan perang ke atas proksi politik jijik dan kotor Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY), kerana mempersoal campur tangan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam urusan pentadbiran negara.

Presiden WIBAWA, Azrul Azham berkata, pihaknya akan menghantar surat rasmi kepada Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Mohd Hamdi Abd Shukor – memohon supaya membubar dan mengharamkan UMANY.

“Ini bukan kali pertama UMANY bertindak sedemikian.

“Jangan ada kompromi dalam hal ini demi menjaga nama ulung Universiti Malaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Azrul mengesahkan beliau telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan membuat laporan ke atas kenyataan UMANY.

“Kenyataan yang terdapat unsur menghasut, memfitnah dan memberi fakta yang salah kepada masyarakat bagi menentang kedudukan Seri Paduka Baginda atas kuasa Baginda bagi menentukan kestabilan politik dan ketenteraman negara,” katanya.

Terdahulu, UM dalam satu kenyataan memaklumkan, akan segera menjalankan siasatan mengenai hantaran laman Facebook bertajuk ‘Yang di-Pertuan Agong Tidak Sepatutnya Campur Tangan dalam Hal Ehwal Negara’ yang dimuat UMANY.

Pejabat Komunikasi Korporat UM menegaskan bahawa universiti itu menjunjung dan menghormati institusi beraja.

Oleh yang demikian, Pengurusan Tertinggi Universiti mengutuk sebarang kenyataan yang melanggar atau bertentangan dengan prinsip tersebut.

Sebelum ini, UMANY mendakwa, Malaysia telah meneruskan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan sejak penubuhannya.

Kata pertubuhan itu, di bawah sistem ini, walaupun Malaysia mengekalkan sistem monarki, raja hanya mempunyai status simbolik yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Artikel 40, perenggan 1A Perlembagaan, Ketua Tertinggi Persekutuan harus bertindak sesuai dengan nasihat yang dibuat oleh Kabinet.

Sama ada melantik Ketua Hakim, duta diplomatik bahkan meluluskan berbagai undang-undang di Parlimen, raja tidak mempunyai wewenang, kata UMANY.

Pertubuhan itu menyatakan pendiriannya iaitu YDPA tidak boleh mencampuri urusan negara tetapi perlu sentiasa menjaga sikap berkecuali dan memainkan peranannya dalam kerangka yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

Bagaimanapun, hantaran UMANY di Facebook telah dipadamkan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button