Berita Utama

Agong tak isytihar darurat: PPMM mohon mencelah kes peguam saman kerajaan

Ada kepentingan mencelah kerana berkait Raja-Raja Melayu dan Islam

BANGI, 16 Rabiulawal 1442H, Isnin – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mengemukakan permohonan mencelah dalam kes saman difailkan seorang peguam berhubung keputusan Yang di-Pertuan Agong – yang tidak bertindak atas nasihat Perdana Menteri untuk mengisytiharkan darurat.

Terdahulu, Syed Iskandar Syed Jaafar memfailkan Saman Pemula di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi Tetuan R Kengadharan & Co dengan menamakan kerajaan sebagai defendan.

Melalui saman pemula itu, plaintif antara lain menuntut untuk menentukan sama ada berdasarkan Perkara 40 dan 150 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara sepenuhnya untuk tidak mengisytiharkan darurat walaupun Perdana Menteri atau Kabinet menasihatkan sebaliknya.

Plaintif juga menuntut untuk menentukan sama ada Akta A514 yang meminda Perkara 150 dengan menambah Fasal (8) dan (9) adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu adalah terbatal dan tidak sah.

Oleh kerana isu Perlembagaan secara langsung berkait dengan kedudukan Raja-Raja Melayu, Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berpendapat, pihaknya mempunyai kepentingan atau locus untuk mencelah di dalam guaman ini khususnya dalam perkara berkaitan Raja-Raja Melayu dan agama Islam.

Sebagai persatuan yang memperjuangkan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, beliau memaklumkan PPMM telah melantik Tetuan Amelda Fuad Abi & Aidil untuk memohon kebenaran mencelah di dalam guaman itu

“Setelah permohonan difailkan, mahkamah akan mendengar permohonan tersebut dan akan membuat keputusan sama ada membenarkan atau tidak untuk PPMM mencelah dan seterusnya sama ada PPMM boleh berpartisipasi di dalam guaman itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 25 Oktober lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak pengisytiharan darurat kerana tiada keperluan untuk melaksanakannya di negara ini atau mana-mana bahagian negara ini ketika ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dicapai selepas Yang di-Pertuan Agong memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-raja Melayu.

Menurut beliau, selepas melihat situasi yang sedang dihadapi negara, Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak COVID-19 dengan baik dan berkesan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button