Apa nak jadi, individu alergi pada identiti negara dapat pingat
Bila pemimpin Melayu nak sedar siapa musuh dalam selimut?
BANGI, 16 Rabiulawal 1442H, Isnin – Wajar atau tidak seseorang dipenuhi kontroversi serta sering dilihat alergi pada identiti dan asas negara dianugerahkan pingat yang membawa gelaran Datuk?
Jika dahulu sering dikhabarkan ramai individu yang melakukan kegiatan haram mendapat pingat, kini yang tiada apa-apa jasa kepada agama, bangsa dan negara juga mendapat pengiktirafan sama hanya kerana kedudukan politiknya.
Sehubungan itu, menjadi tanda tanya adakah penganugerahan pingat hanya satu lagi alat politik.
Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya menegaskan, jika individu yang selayaknya menerima pingat atas jasa dan pengorbanan mereka kepada agama, bangsa serta negara itu perkara yang membanggakan.
“Tetapi kita pasti kecewa jika melihat mereka yang penuh dengan kontroversi dan sering dilihat alergi pada identiti dan asas negara dapat pengiktirafan yang tinggi sebegini.
“Apakah ertinya semua ini? Apa kenanya dengan negara kita kini? Di manakah maruah dan integriti kita?
“Bilalah pemimpin Melayu kita mahu sedar? Bilalah mereka mahu berubah? Apakah hilang kuasa selama 22 bulan itu tidak mencukupi?,” soalnya menerusi kenyataan, hari ini.
Kesal dengan perkembangan terbaharu itu, Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mengingatkan, bahawa sejarah telah membuktikan sesebuah negara malah peradaban akan hancur bukan hanya kerana musuh luar, tetapi faktor besarnya adalah musuh dari dalam.
“Pemimpin yang bijak sudah pasti mengenal siapa sebenarnya kawan dan siapa sebenarnya lawan dan siapa sebenarnya musuh dalam selimut.
“Kegilaan kepada kuasa adalah satu musibah kepada kita semua, yang menjahanamkan negara.
“Akan tibanya satu tahap, rakyat akan benar-benar meluat melihat ahli politik terutamanya yang memegang kuasa dan akhirnya tidak peduli akan politik,” katanya.