Berita Utama

Belanjawan 2021 tak boleh dibentang secara dalam talian

MKN, KKM teliti SOP berbeza mengikut kawasan PKP

 

KUALA LUMPUR, 16 Rabiulawal 1442H, Isnin – Pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat ini tidak boleh dilakukan secara dalam talian kerana akan melanggar Perlembagaan dan ketetapan Parlimen, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Meskipun kes COVID-19 semakin meningkat, persidangan Parlimen, termasuk keperluan membentangkan Belanjawan 2021 tertakluk kepada Perlembagaan dan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat, katanya. 

“Sebagai contoh, pembentangan, perbahasan dan pemungutan suara berikutnya untuk RUU itu harus dilakukan di Dewan Rakyat. 

“Namun, kami telah menetapkan SOP yang lebih ketat bagi mereka yang menghadiri mesyuarat Parlimen,” katanya.

SOP itu merangkumi Ahli Parlimen dari Sabah mesti menjalani kuarantin sebelum memasuki Parlimen sementara semua Ahli Parlimen diwajibkan menjalani ujian swab tiga hari sebelum memasuki Dewan Rakyat.

“Setiap Ahli Parlimen hanya boleh membawa dua pegawai ke Parlimen dan kedua-duanya mesti menjalani ujian swab.

“Tempoh Ahli Parlimen berada di Dewan Rakyat juga telah dikurangkan. Contohnya hari ini, persidangan Parlimen berakhir pada jam 1 petang,” katanya.

Selain itu, Ismail berkata, prosedur operasi standard (SOP) untuk perayaan Deepavali dijangka siap minggu ini. 

Beliau berkata, draf pertama SOP dibincangkan dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Nasional (MKN) pada Jumaat lalu.

“MKN sedang meneliti SOP yang dicadangkan dan saya percaya penambahbaikan sedang dilakukan.

“MKN dan Kementerian Kesihatan (KKM) perlu menganalisis masalah ini lebih jauh kerana SOP akan berbeza bagi kawasan yang ditempatkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Perintah Kawalan Pemulihan (PKPP),” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button