Berita Utama

Belanjawan 2021: Tingkatkan hingga RM40 bilion keperluan KKM

Tambah kakitangan, fasiliti kesihatan ikut pertambahan penduduk

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 16 Rabiulawal 1442H, Isnin – Kerajaan perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM10 bilion hingga RM40 bilion keperluan untuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan Jumaat ini, kata Dr Mohd Ihsanuddin Abas.

Ketua Unit Kesihatan Awam Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) itu berkata, melalui peruntukan berkenaan, KKM dapat memfokuskan kepada penambahan kakitangan kesihatan dan fasiliti-fasiliti kesihatan seperti hospital dan klinik mengikut pertambahan penduduk dan kes-kes penyakit harian.

Bagi mendepani pandemik COVID-19, beliau berkata, kerajaan juga perlu meningkatkan keupayaan sektor kesihatan awam terutamanya di Pejabat-Pejabat Kesihatan Daerah dengan menaik taraf fasiliti dan kemudahan sistem teknologi maklumat.

Malah, katanya, pertambahan kakitangan dan kenderaan juga perlu dilakukan bagi melancarkan pengurusan kawalan penyakit di daerah-daerah seluruh Malaysia.

“Kesan pandemik COVID-19 sepatutnya memberi pengajaran bahawa jaminan kesihatan adalah penting untuk pembangunan dan kestabilan ekonomi negara.

“Pertambahan bajet ini perlu dilihat sebagai pelaburan negara kepada kesihatan rakyat – seklai gus ekonomi negara dapat dipulihkan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Dr Mohd Ihsanuddin menyifatkan bajet untuk kesihatan adalah satu cabaran besar kepada mana-mana kerajaan memerintah kerana saban tahun isu itu tidak pernah selesai.

Ini kerana, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini pernah membangkitkan isu kekurangan bajet kesihatan sejak tahun 2018.

Memetik kenyataan Dr Noor Hisham, beliau berkata, bajet kesihatan di Malaysia pada tahun 2020 hanyalah 2.2 peratus daripada kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sedangkan cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah sekurang-kurangnya empat peratus daripada kadar itu.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan hanya meningkatkan sedikit peruntukan pada setiap tahun, misalnya RM30.6 bilion bagi tahun 2020, khususnya untuk pengurusan dan pembangunan sektor kesihatan.

“I-Medik memandang serius isu bajet kesihatan lebih-lebih lagi dengan penambahan beban kesihatan berganda bukan hanya penyakit tidak berjangkit (non-communicable diseases-NCD) dan penyakit berjangkit sedia tetapi pandemik COVID-19 yang belum lagi reda,” katanya.

Dalam Belanjawan 2020, kerajaan terdahulu menyediakan peruntukan RM30.6 bilion bagi akses kesihatan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button