Berita Utama

COVID-19: Ekonomi Selangor hanya berkembang 2 peratus

PKP, PKPB jejas sektor ekonomi, pembuatan dan perkhidmatan

SHAH ALAM, 16 Rabiulawal 1442H, Isnin – Hanya dua peratus kadar unjuran pertumbuhan ekonomi Selangor dijangka pada tahun ini akibat wabak pandemik COVID-19, kata Datuk Seri Amirudin Shari.

Menteri Besar Selangor itu berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bukan sahaja menjejaskan banyak sektor ekonomi, malah turut menjejaskan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Unjuran pertumbuhan ekonomi Selangor dibuat dalam tiga senario. Pertama, jika jangkaan KDNK nasional adalah positif 0.5 peratus, kadar pertumbuhan negeri adalah 2.09 peratus.

“Kedua, jika unjuran nasional pada paras negatif 0.5 peratus, kadar pertumbuhan Selangor adalah 1.07 peratus.

“Senario paling buruk ialah jika jangkaan nasional paras negatif 3 peratus, jangkaan negeri pula paras negatif 1.47 peratus,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.

Amirudin berkata demikian ketika menjawab soalan Elizabeth Wong (PH-Bukit Lanjan) berhubung unjuran pertumbuhan ekonomi KDNK Selangor pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Katanya, pelaksanaan PKP dan PKPB turut menjejaskan sektor pembuatan dan perkhidmatan, yang menjadi penyumbang terbesar pertumbuhan ekonomi negeri.

Ketika menjawab soalan Leong Tuck Chee (PH-Pandamaran) berkaitan pendapatan negeri itu pada tahun ini, Amirudin berkata, kerajaan negeri mencapai 90 peratus sasaran pendapatan sehingga 26 Oktober.

“Kita mensasarkan pendapatan RM2.2 bilion pada tahun 2020 dan kita berjaya capai sekitar RM1.99 bilion setakat ini.

“Pendapatan Kerajaan Negeri pada 2017 pula adalah RM1.8 bilion, 2018 (RM1.99 bilion) dan 2019 (2.32 bilion),” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button