Berita Utama

Hina Agong serlah sikap kiasu, biadab UMANY

Perbuatan anak-anak kiasu itu umpama hina negara

BANGI, 16 Rabiulawal 1442H, Isnin – Tindakan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah boleh diumpamakan sebagai menghina sesebuah negara.

Perbuatan itu juga menyerlahkan wajah sebenar Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) sebagai sebuah pertubuhan ultra kiasu yang biadab.

Ketua Komunikasi dan Multimedia Pertubuhan Pembela-Pembela Islam Malaysia (PEMBELA), Haji Rashidi Haris menyifatkan, UMANY sebagai anak-anak kiasu yang tidak menghormati Rukun Negara terutama sekali ‘Kesetiaan kepada Raja dan Negara’.

Jelasnya, negara disanjung apabila raja berdaulat, justeru negara wajib melindungi raja supaya ia dijunjung tinggi dan dihormati.

“Yang di-Pertuan Agong bukannya sekadar simbol negara tetapi merupakan tonggak kedaulatan negara.

“Menghina Yang di-Pertuan Agong sama seperti kita menghina negara sendiri di mata negara lain, kerana baginda merupakan Ketua Negara bagi negara Malaysia,” katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.

Sebelum ini, pertubuhan dipercayai pro-DAP itu menyatakan pendiriannya iaitu Agong tidak boleh mencampuri urusan negara tetapi perlu sentiasa menjaga sikap berkecuali dan memainkan peranannya dalam kerangka yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

UMANY mendakwa, Malaysia telah meneruskan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan sejak penubuhannya.

Kata pertubuhan itu, di bawah sistem ini, walaupun Malaysia mengekalkan sistem monarki, raja hanya mempunyai status simbolik yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Artikel 40, perenggan 1A Perlembagaan, Ketua Tertinggi Persekutuan harus bertindak sesuai dengan nasihat yang dibuat oleh Kabinet.

Sama ada melantik Ketua Hakim, duta diplomatik bahkan meluluskan berbagai undang-undang di Parlimen, raja tidak mempunyai wewenang, kata UMANY.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button