Berita Utama

Keputusan Agong tak isytihar darurat hak prerogatif, tak boleh dicabar

Baca peruntukan dalam Perlembagaan perlu holistik kerana berkait rapat

BANGI, 16 Rabiulawal 1442H, Isnin – Keputusan Yang di-Pertuan Agong tidak mengisytiharkan darurat di negara ini adalah mengikut Perlembagaan dan tidak menyimpang daripada keputusan kes di mahkamah, kata Prof Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia itu berkata, mengikut ketetapan Perkara 150 (1), baginda boleh membuat pengisytiharan darurat selepas berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku, yang menyebabkan keselamatan, kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam.

Perkara 150 (2) memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong juga boleh bertindak sedemikian sebelum sebenarnya berlaku kejadian mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya jika baginda berpuas hati kejadian sedemikian hampir benar berlaku.

“Perkara 150 (8) (a) memperuntukkan tindakan Yang di-Pertuan Agong muktamad dan konklusif serta tidak boleh dicabar dan dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa alasan sekalipun.

Tambahan pula, Perkara 150 (8) (b) memperuntukkan mahkamah tidak mempunyai sebarang bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding dalam apa-apa jua bentuk dalam keputusan yang dibuat baginda dalam perkara berkaitan darurat,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Meskipun begitu, Dr Mohamed Azam berkata, ada pihak mempertikaikan kesahihan Perkara 150 (8) kerana ia dimasukkan selepas pindaan ini dibuat, dengan memasukkan peruntukan tindakan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah selepas kes Teh Cheng Poh diputuskan.

Mengambil ungkapan Sultan Azlan Shah dalam kupasannya, tindakan Yang di-Pertuan Agong tidak semestinya apa tersurat dalam Perlembagaan, katanya.

Beliau berkata, kebijaksanaan baginda memanggil mesyuarat khas Raja-Raja Melayu dalam menangani isu ini adalah dialu-alukan walaupun tidak ada peruntukan jelas untuk berbuat demikian dalam Perkara 38 (Majlis Raja-Raja).

“Tambahan pula, membaca peruntukan dalam Perlembagaan hendaklah secara holistik dan harmoni kerana sesuatu peruntukan berkait rapat dengan peruntukan lain.

“Ia tidak boleh dibaca secara literal dan berasingan. Apa tersurat dalam Perlembagaan juga perlu diambil kira.

“Akhirnya, sesuatu tindakan Yang di-Pertuan Agong dalam perkara berkaitan dengan darurat ialah hak prerogatif baginda dan tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak termasuk dicabar mana-mana mahkamah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button