Berita UtamaDunia

Korban gempa di Turki meningkat kepada 62

Seorang warga emas ditarik keluar dari runtuhan bangunan

ISTANBUL, 16 Rabiulawal 1442H, Isnin – Seorang warga emas berusia 70 tahun ditarik keluar dari runtuhan bangunan di bandar Izmir, Turki pada hari Ahad, selepas tertimbus selama 33 jam akibat gempa kuat di barat Turki.

Lelaki yang dikenali sebagai Ahmet Citim itu, diselamatkan di satu daripada 20 bangunan kediaman yang musnah di daerah Bayrakli di Izmir – bekas kawasan kediaman di mana bangunan-bangunan lama yang terdedah kepada gempa bumi digantikan dengan projek pembinaan baharu.

Gambar di televisyen menunjukkan bahawa bangunan yang runtuh adalah bangunan lama.

Pihak berkuasa Turki melaporkan lebih banyak kematian semalam, menjadikan jumlah korban 62, semuanya di Izmir, sementara dua remaja meninggal di pulau Samos, Greece.

Pasukan penyelamat dan kecemasan meneruskan pencarian di bangunan yang musnah selama dua hari sementara Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, kerajaan ‘bertekad untuk menyembuhkan luka saudara dan saudari di Izmir sebelum musim sejuk dan hujan bermula,’

Lebih 3,000 khemah dan 13,000 tempat tidur disediakan sebagai tempat tinggal sementara, menurut Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) yang memaklumkan 940 orang cedera dalam gempa bumi hari Jumaat.

Menteri Kesihatan, Fahrettin Koca berkata, lebih daripada 700 mangsa telah discaj dari hospital, sementara lapan lagi masih dalam rawatan intensif.

Gempa kuat berukuran 7.0 magnitud itu dikesan di perairan Laut Aegean dan utara Greece pada petang Jumaat.

Gegaran itu dirasai di Athens dan Bulgaria.

Ratusan gempa susulan turut dilaporkan berlaku. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button