Berita Utama

Lebih 1.3 juta populasi kanak-kanak di Malaysia terima vaksin COVID-19

2.8 juta atau 91.6 peratus pula bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun lengkap vaksinasi

KUALA LUMPUR, 25 Syaaban 1443H, Isnin – Sebanyak 1,312,205 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun atau 37 peratus populasi itu di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,848,821 individu atau 91.6 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,946,103 atau 94.7 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, sejumlah 15,632,112 individu atau 66.4 peratus populasi dewasa pula telah menerima dos penggalak dan 22,948,963 atau 97.5 peratus lengkap vaksinasi manakala 23,225,157 atau 98.7 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 24,254 dos vaksin telah diberikan semalam melibatkan 6,622 suntikan pertama, 818 suntikan lengkap dan 16,814 suntikan dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 68,701,958 dos.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 37 kes kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam dengan Johor merekodkan kematian tertinggi sebanyak 12 kes diikuti Kedah enam kes serta Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor masing-masing empat kes.

Selain itu, Pulau Pinang merekodkan tiga kes, Sarawak dengan dua kes manakala masing-masing satu kes di Perak dan Sabah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button